Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Buku 'cerita sucre' Fazley pikat juri dunia
Diterbitkan:  Jun 8, 2016 6:26 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Buku resipi hasil Datuk Fazley Yaakob dinobatkan sebagai pemenang pertandingan Anugerah Buku Masakan Gourmand yang diadakan baru-baru ini.

Menariknya buku My Sucre Story itu adalah karya pertama Fazley yang juga Juara Masterchef Selebriti Malaysia musim pertama.

Beliau mengalahkan 205 penyertaan lain dari pelbagai negara dalam pertandingan anjuran Gourmand International di Barcelona, Sepanyol itu.

Pada Oktober tahun lalu, Fazley yang turut terkenal sebagai penyanyi, pencipta lagu dan pakar motivasi melancarkan My Sucre Story di Paris.

Ia diadakan dengan kerjasama tempat pengajiannya sebelum ini, Le Cordon Bleu Paris.

Pada Mac lalu, buku resipi berkenaan dilancarkan pula di Singapura.

Untuk makluman, The World Gourmand Cookbook Awards ini seumpama upacara Oscars dan Olimpik untuk penulis buku masakan.

Resipi moden juga ada

Buku yang mengandungi 35 resipi itu memenangi tempat pertama bagi kategori buku tulisan personaliti televisyen luar Eropah.

Berada di bawah Fazley ialah Ana Maria Braga dari Brazil dan Judy-Ann Santos Agoncillo dari Filipina.

Ketiga-tiga penerima anugerah itu merupakan personaliti chef terkenal di negara masing-masing.

Pertandingan Anugerah Buku Masakan Gourmand diadakan sejak 1995 untuk memberi pengiktirafan kepada chef dari seluruh dunia yang menghasilkan buku resipi unik dan berkualiti.

Paris, Frankfurt dan Barcelona adalah antara bandar raya menjadi tuan rumah berkenaan, dan Kuala Lumpur perah mengambil gilirannya pada 2006.

Dalam buku Fazley, antara hidangan diketengahkan ialah resipi warisan Negeri Sembilan - tempat kelahiran penyanyi lagu Asmara Ini itu.

Resipi lain dalam My Sucre Story ialah Rendang Uwan, Daging Masak Lemak Cili Api, Madagascar Vanilla Creme Brulee, Popcorn Macaron dan Puteri Mandi.

Buku terbitan MPH Publishing itu turut memuatkan resepi moden dan manisan dari Perancis sesuai dengan cita rasa anak muda yang ingin mencuba memasak untuk kali pertama.

Lihat Komen
ADS