Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
SN Muhammad: Tindakan DBKL buta seni, memalukan

Sasterawan Negara Prof Dr Muhammad Salleh berkata tindakan kerajaan merobohkan legasi seorang seniman negara boleh dianggap perbuatan buta seni dan memalukan.

Kata Muhammad, sebenarnya tiada perkataan sesuai untuk mengungkapkan perasaannya apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan Puncak Purnama dirobohkan baru-baru ini.

"Bangsa kita memiliki kesenian sejak dulu. Arca Puncak Purnama dihasilkan oleh allahyarham Syed Ahmad Jamal itu pula adalah kebanggaan kita dari dulu.

"Saya tidak faham mengapa orang boleh merobohkan struktur begitu tanpa (minta) pendapat orang seni dan (pihak) yang tahu dalam bidang ini.

"Saya andaikan mereka ini buta seni," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Arca Puncak Purnama ilham Syed Ahmad dirobohkan dengan kebenaran DBKL pada 1 Julai lalu selepas ia siap dibina pada 1986.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor arca berkenaan berada dalam keadaan terlalu usang dan tidak dapat diperbaiki.

Keadaan itu juga didakwa menyakitkan pandangan mata.

Ekoran tindakan itu sekumpulan aktivis menggerakkan petisyen dalam talian bagi membantah tindakan kerajaan merobohkan arca berkenaan.

Balu Syed Ahmad juga menyatakan rasa kesal dan marah kerana arca itu dirobohkan tanpa mendapat pandangan daripada mereka.

Berapa kerat arca ada

Bagaimanapun dalam kenyataan berasingan Tengku Adnan berkata Puncak Purnama itu adalah milik DBKL.

Syed Ahmad diiktiraf kerajaan Malaysia sebagai Seniman Negara pada 1995. Semasa hayatnya beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah dan pengarah Balai Seni Lukis Negara (kini dikenali sebagai Balai Seni Visual Negara.

Setakat petang ini petisyen Deklarasi Puncak Purnama 2016 itu sudah mengumpul lebih 800 tandatangan.

Kata Muhammad tindakan DBKL meranapkan arca berkenaan menimbulkan masalah besar kerana ia hanya menipiskan kehadiran seni di Kuala Lumpur.

"Arca Seniman Agung Datuk Syed Ahmad Jamal melambangkan ekspresi kesenian.

"Justeru, saya mengandaikan DBKL kurang peka dan faham dengan seni," katanya.

Kata Muhammad, sesebuah negara sepatutnya memelihara setiap karya seni dan menganggapnya sebagai khazanah.

Keadaan begitu, katanya, adalah lazim di negara lain.

"Perobohan karya seni seumpama itu hanya berlaku di negara ini," katanya.

Mengambil contoh kota Paris, Muhammad berkata, seseorang yang pernah berkunjung ke situ pasti mahu mengulangi kunjungan berkenaan kerana terkesan dengan unsur kesenian di situ.

"Ada seni di mana-mana lokasi di Paris, dan itulah yang membuatkan ia istimewa," katanya.

Namun kata Muhammad keadaan berbeza sekali di Kuala Lumpur.

"Jika diperhatikan di Kuala Lumpur ini, boleh dikira berapa kerat arca yang pernah dihasilkan oleh warga seniman," katanya.

Pada masa sama, Muhammad turut mempersoalkan secara khusus pembabitan DBKL dalam aktiviti kesenian.

"Saya tidak tahu apakah tanggungjawab mereka pada kesenian (tetapi) inilah (yang berlaku) apabila orang politik membuat keputusan, kita orang seni tidak terlawan.

"Mereka merobohkan arca seni tanpa memanggil pihak yang mengetahui bidang ini.

"Bagi saya perkara itu memalukan," katanya.

Sehubungan itu, Muhammad turut mencadangkan DBKL menubuhkan jawatankuasa khas mengkaji semula sesuatu tindakan yang perlu diambil jika ia ada kaitan dengan hal kesenian atau kebudayaan.

"Kota batu adalah kota konkrit dan cantik, tetapi ia juga untuk didiami manusia berperasaan dan sukakan keindahan," katanya.

Lihat Komen
ADS