Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

“Tanggal 1 Julai 2016 akan dikenang sebagai hari paling sial bagi komuniti seni rupa bila mana arca Seniman Negara Syed Ahmad Jamal bertajuk Lunar Peaks/Puncak Purnama dilenyapkan dari pandangan mata.”

Begitulah antara coretan Nur Hanim Khairuddin, seorang kurator dan seniwati seni visual Malaysia, ketika mengemaskini status Facebook sebagai maklum balas insiden perobohan arca awam tersebut.

Kesialan itu, ditambah parah lukanya apabila Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor berkata arca Puncak Purnama di Jalan Atap, Kuala Lumpur diruntuhkan kerana “menyakitkan mata, terlalu usang dan tiada cara untuk membaik pulih keadaan arca berkenaan.”

Adakah rasa dendam di antara pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan seniman negara itu?

Asalnya arca Puncak Purnama ini dikomisyenkan bank UMBC kepada Syed Ahmad Jamal dan siap pada tahun 1986.

Mengambil perlambangan sains penerokaan angkasa lepas, makanya seramik yang sama untuk membuat kapal angkasa NASA digunakan sebagai antara bahan asas pembinaan Puncak Purnama.

Proses pembuatannya melibatkan kerjasama Wisma Putra dan Kedutaan Amerika Syarikat. Setelah siap, Puncak Purnama dihadiahkan UMBC kepada pihak DBKL.

Pada tahun 1996, pihak DBKL telah mengubah suai arca tersebut tanpa sebarang perundingan dengan pihak seniman.

Syed Ahmad Jamal telah menyaman DBKL. Pada tahun 2010 kes saman DBKL berkenaan arca ini telah berpihak kepada Syed Ahmad Jamal.

Pada 4 Julai 2016, dua hari menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, berlangsung sebuah sidang akhbar bertempat di Auditorium Balai Seni Visual Negara (BSVN), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Malaysiakini melaporkan sidang akhbar tersebut dengan memetik balu allahyarham, Hamidah Mohd Noor dan anaknya Syed Nabil yang ternyata kecewa dengan tindakan perobohan tersebut.

Pada sidang yang sama, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Mahadzir Lokman meluahkan rasa terkilan pihak BSVN yang tidak diberi sebarang makluman oleh pihak DBKL.

Menurut Mahadzir pihak BSVN bersedia untuk menyelenggarakan usaha pemindahan arca tersebut ke tempat lain jikalau diberi makluman awal.

Malah Mahadzir memanjangkan seruan yang awalnya disuarakan seorang seniman pelukis Saiful Razman agar para seniman membuat laporan polis.

Musnahkan warisan seni

Hal ini meskipun BSVN wujud berasaskan Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, sebuah undang-undang yang digubal di parlimen.

Berdasarkan peruntukan Akta tersebut, BSVN berfungsi “untuk mengekalkan standard dan mutu seni visual; serta untuk bertindak atas apa-apa sifat atau peranan ke arah pemajuan pembangunan seni visual di Malaysia.”

Ternyata DBKL bertindak sewenang-wenangnya memusnahkan warisan seni budaya negara dengan hanya bersandarkan pandangan dangkal seorang Menteri tanpa berunding dengan pihak berkuasa kesenian.

Dalam bidang politik, Syed Ahmad Jamal seringkali dikenang sebagai pencipta logo PKR, selain sikapnya yang membantah pemenjaraan Anwar Ibrahim pada 1998.

Bagi orang ramai yang belum tahu, allahyarham sebenarnya bukan sahaja seorang seniman besar negara, malahan bekas penjawat awam yang amat besar jasanya. Namanya dapat kita cari di laman web Arkib Negara bawah kategori tokoh penjawat awam.

Syed Ahmad Jamal dilahirkan pada 19 September 1929 di Bandar Maharani, Muar, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Johor Bahru, sebelum meneruskan pelajaran di England dalam bidang seni.

Sekembali darip England, beliau bertugas sebagai guru di Sekolah Tinggi Batu Pahat, Johor dari tahun 1956 hingga 1957. Pada tahun 1957 beliau bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Harian, Kuala Lumpur (sekarang Maktab Seri Kota).

Pada tahun 1958 hingga 1959 beliau bertugas di Malayan Teacher’s College, Kirkby, England. Pada tahun 1963 hingga 1964 beliau mengikuti pengajian seni arca di School of Art Institute, Chicago, Illinois, Amerika Syarikat.

Beliau dilantik sebagai Pengetua Maktab Perguruan Ilmu Khas di Cheras pada tahun 1964.

Pada 1974, beliau mengikuti pengajian Falsafah Seni Islam di Universiti Harvard Cambridge, Amerika Syarikat.

Sekembalinya ke tanah air, beliau bertugas di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya dan kemudian dilantik sebagai Pengarah Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya pada tahun 1979. Beliau dilantik sebagai pengarah Balai Seni Lukis Negara pada tahun 1983 hingga 1991.

Pada tahun 1995, Syed Ahmad Jamal dianugerahkan Anugerah Seniman Negara, anugerah yang diktiraf oleh Yang di-Pertuan Agong.

Begitulah nasib arca Puncak Purnama yang telah pun dirobohkan pihak kerajaan yang sama memberi pengiktirafan kepada seniman pengkaryanya itu.

Jikalau, orang sehebat Syed Ahmad Jamal ini, karyanya boleh diperlakukan sedemikian rupa oleh pihak berkuasa negara, bagaimana pula nasib seniman biasa yang tidak punya gelar apa-apa?

Candi Nombor 11

Namun apalah yang hendak kita hairankan di Malaysia yang penuh dengan berbagai kejutan ini. Pada tahun 2013, Candi Nombor 11, di Lembah Bujang, Kedah berusia lebih seribu tahun dirobohkan pihak swasta pemaju perumahan.

Banyak lagi candi-candi purba tamadun Lembah Bujang yang masih belum digazetkan sebagai tapak warisan negara menyebabkan ia terdedah terhadap bahaya kemusnahan tanpa perlindungan undang-undang.

Badan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) telah mengeluarkan sebuah deklarasi pada 2003 yang mengambil berat berkenaan pemusnahan secara sengaja terhadap sebarang warisan budaya.

Deklarasi Unesco 2003 itu memberi penekanan “warisan budaya sebagai komponen penting jati diri budaya dan kesepaduan sosial, maka pemusnahan dengan sengaja terhadap warisan budaya itu dapat memberi akibat buruk terhadap maruah dan hak asasi manusia.”

Menginsafi tragedi perobohan arca Puncak Purnama ini, maka sudah sampai waktunya untuk Kerajaan Malaysia menandatangani dan meratifikasi Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Budaya.

Kovenan ini diangkat PBB pada tahun 1966 dan berkuatkuasa pada 1976. Sebanyak 164 negara telah menandanganinya.

Fasal 15 Kovenan tersebut mengakui hak setiap orang untuk memperoleh manfaat dari perlindungan atas kepentingan moral dan material yang timbul dari karya ilmiah, sastera atau seni yang telah diciptakannya.

Malaysia belum memperakui Kovenan ini lagi. Bermaksud hak-hak seniman dan karya-karya seni di Malaysia ini masih jauh daripada dimuliakan, malahan belum sepenuhnya dihargai, apatah lagi dihormati sebagai hak asasi manusia sejagat.


RAHMAT HARON seorang seniman outsider.

Lihat Komen
ADS