Berikut adalah komen saya terhadap berita Karim: Rakyat boleh buat aduan pada polis dan BPR .
Saya tertarik dengan kenyataan Pembantu Menteri Pelancongan negeri Karim Bujang yang mengatakan rakyat Sabah yang tidak puashati dengan pemimpin mereka boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa, polis atau BPR dan bukannya membuat tuduhan melalui media.
Sementara itu, Menteri Pertanian Sabah Abdul Rahim pula berkata bahawa beliau tidak takut dengan pendedahan tersebut kerana menurutnya 'rakyat Sabah tahu siapa dirinya.'
Persoalannya ialah bukan rakyat tidak mahu buat laporan tetapi sejauhmanakah laporan yang dibuat oleh rakyat akan disiasat dengan rapi dan teliti oleh polis, Badan Pencegah Rasuah dan pihak berkuasa?
Pengalaman sudah-sudah telah memperlihatkan bagaimana ratusan aduan dibuat rakyat kepada polis, BPR dan pihak berkuasa berkaitan dengan salahguna kuasa, rasuah dan pengumpulan harta di luar jangkaan semuanya senyap dan hilang begitu saja.
Banyak kes ditutup rapi daripada pengetahuan rakyat jelata oleh pihak berkuasa. Malah media massa tidak diberi ruang langsung untuk memperkatakan hal-hal berkaitan rasuah, salahguna kuasa dan sebagainya.
Kalau ada tangkapan pun, hanya ikan bilis saja sedangkan jerung-jerung besar terlepas begitu saja. Pemimpin kita cakap bermati-matian untuk memerangi rasuah tetapi semuanya cakap tak serupa bikin.
Ada pegawai-pegawai kerajaan yang bekerja selama 30 tahun, tetapi hanya mampu miliki sebuah rumah teres yang dibeli dengan pinjaman kerajaan yang belum habis dibayar walaupun mereka sudah berpencen.
Tetapi saya hairan bagaimana seorang wakil rakyat, timbalan menteri atau menteri mampu memiliki rumah bernilai RM8 juta atau lebih bukan satu tetapi beberapa buah, dalam tempoh masa yang terdekat?
