Karim: Rakyat boleh buat aduan pada polis dan BPR
Rakyat Sabah yang tidak berpuashati dengan pemimpin mereka boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa, dan bukannya membuat tuduhan melalui media, kata Pembantu Menteri Pelancongan negeri, Datuk Karim Bujang.
Rakyat Sabah yang tidak berpuashati dengan pemimpin mereka boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa, dan bukannya membuat tuduhan melalui media, kata Pembantu Menteri Pelancongan negeri, Datuk Karim Bujang.
Katanya, orang ramai boleh membuat laporan kepada pihak polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menyiasat pemimpin-pemimpin negeri terbabit.
"Jika mereka mengesyaki pemimpin mereka terlibat dengan pemilikan harta secara haram, mereka boleh membuat laporan kepada BPR.
"Membuat tuduhan di dalam media massa tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya ia menyebabkan masyarakat memandang serong kepada pemimpin politik tersebut," katanya yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kimanis.
Oleh itu, tegasnya, biarlah pihak berkuasa, terutama BPR menyiasat dan jika ada bukti mengheret mereka ke muka pengadilan.
Karim menegaskan demikian ketika diminta mengulas laporan dalam lamanweb tempatan, Malaysia Today yang mendakwa beberapa pemimpin kerajaan Sabah, termasuk Karim sendiri, memiliki rumah mewah.
Laporan tersebut juga mendakwa Karim memiliki rumah bernilai RM8 juta, Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Abdul Rahim Ismail mempunyai rumah RM8 juta dan Setiausaha Agung Umno negeri, Datuk Yahya Husin (
gambar
) mempunyai rumah berharga RM7 juta.
Tidak takut dakwaan
Bagaimanapun, Karim menyifatkan laporan Malaysia Today tersebut sebagai tidak berasas, berbentuk fitnah dan tidak perlu dilayan kerana menurutnya 'ia tidak ada sebarang nilai'.
Ditanya sama ada beliau akan mengambil sebarang tindakan terhadap pengendali lamanweb tersebut, Karim berkata, beliau tidak perlu berbuat demikian.
Bagaimanapun, Karim menjelaskan beliau memang mempunyai sebuah rumah di Putatan, Kota Kinabalu dan pembinaan dilakukan oleh syarikat kontraktor milik saudaranya, tetapi harganya tidak sampai RM8 juta.
Sementara, Menteri Pertanian Sabah, Abdul Rahim berkata, beliau tidak takut dengan pendedahan tersebut kerana menurutnya 'rakyat Sabah tahu siapa dirinya.'
"Ia merupakan fitnah belaka. Saya tidak mampu untuk memiliki sebuah rumah ( gambar ) yang berharga RM8 juta," katanya sambil menambah beliau membuat pinjaman bank untuk membina rumah tersebut.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan membuat laporan polis jika keadaan memerlukan beliau berbuat demikian.
Buat masa ini, katanya, isu tersebut tidak perlu diperbesarkan kerana menurutnya "orang Sabah sudah tahu rumahnya."
Editor Malaysia Today , Raja Petra Kamaruddin ketika dihubungi mendakwa beliau ada mesyuarat dan meminta menghubunginya semula.
Gambar-gambar di atas adalah daripada lamanweb Malaysia Today .

