Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Saudara Mustapha Ong rajin menulis dan banyak mengetegahkan pendapat yang bernas dalam isu-isu yang sering kita perbincangkan. Tetapi kali ini ketika mengajak Umno tampil menyokong Dr Mahathir Mohamad berdepan dengan saman Anwar Ibrahim sesungguhnya beliau silap besar.

Ini bukan kali pertama mulut Mahathir celupar. Malah, beliau kini banyak mengakibatkan kerajaan Pak Lah tersinggung dengan tuduhan yang bukan-bukan. Sebagai contohnya, beliau menuduh duit kerajaan sudah habis dibelanjakan dan hampir bankrap. Beliau juga menyatakan bahawa amalan rasuah kini terlalu teruk dan melampau sehingga orang Umno dan orang kerajaan sudah tidak lagi segan-silu melakukannya... seolah-olah berkata, hanya sejak Pak Lah menjadi Perdana Menteri, gejala rasuah berleluasa jadinya.

Banyak lagi contoh yang menyusahkan Pak Lah mentadbir negara ini dengan caranya yang tersendiri. Kita tahu lunas undang-undang kita. Tidak payahlah Mahathir mengingatkan orang, siapa yang berhak mengambil tindakan mahkamah. Jangan terkejut kalau semua badan bukan kerajaan (NGO) bebas di Malaysia juga menyaman Mahathir kerana menuduh NGO yang memulaunya di majlis Suhakam, sebenarnya ejen kuasa luar yang menerima bantuan kewangan daripada mereka. Tidak lama dahulu, Datuk (Abdul) Murad (Khalid) dari Bank Negara yang pernah membuat tuduhan yang sama, terpaksa meminta maaf dan membayar gantirugi yang besar kepada Aliran dan Chandra Muzaffar. Mahathir bukan tidak tahu.

Mulut celupar Mahathir tidak kena mengena langsung dengan Umno atau rakyat Malaysia atau pun kerajaan Pak Lah. Mustapha silap besar. Apakah Mustapha ingat Mahathir boleh suka hatinya menghina orang? Apakah tidak baca dalam al-Quran bahawa dosa terbesar adalah perbuatan menghina orang tanpa usul periksa. Kini rakyat Malaysia mahu tahu kebenaran dalam hal ini.

Rakyat Malaysia juga melihat tindakan bekas Ketua Polis Rahim Noor menyelesaikan di luar mahkamah, kes saman Anwar terhadapnya, dengan meminta maaf dan membayar pampasan. Kali ini, kes harus dibicarakan sampai habis. Biar undang-undang kita menentukan nasib Mahathir maupun Anwar, walaupun kita tahu siapa yang akan nahas.

Yang hendak menjatuhkan kerajaan bukan Anwar tetapi Mahathir yang menuduh orang Umno paling korup. Apakah Anwar akan kembali memimpin? Kita lihat sahajalah nanti apabila Anwar layak semula bertanding dalam pilihanraya. Penganalisa politik mengatakan Anwar tetap akan menjadi perdana menteri. Saya bukan orang Keadilan dan bukan penyokong Anwar. Tetapi sesiapa yang mempunyai akal fikiran dan deria yang sempurna, boleh membuat jangkaan yang logik. Orang Umno sendiri tahu hakikat ini. Ramai yang sedia bertukar 'kem'. Nanti tengoklah.

Oleh itu, tidak usahlah mengelirukan rakyat Malaysia dengan cadangan penubuhan tabung untuk membela Mahathir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS