Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan peguamnya memfailkan saman terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Sepertimana yang ditegaskan oleh Dr Mahathir, Anwar berhak untuk bertindak sedemikian mengikut peruntukan undang-undang negara yang sedia ada. Dan Dr Mahathir pula bersedia untuk membela dirinya.
Saya adalah penyokong kuat Umno dan Barisan Nasional, saya juga berhak untuk meluahkan perasaan saya secara peribadi terhadap perkembangan isu Anwar yang telah dibangkitkan semula selepas Mahkamah Persekutuan membebaskannya daripada sabitan dan hukuman bagi kesalahan liwat ke atasnya.
Saga Anwar telah menjadi buah mulut semua lapisan rakyat, tidak kira bangsa dan kedudukan, dan juga penyokong Anwar di luar negara yang semakin mencabar baru-baru ini. Penyokong kuat Anwar di luar negara, terdiri daripada pemimpin politik dan korporat yang mahu revolusi ala Anwar, berjaya menumbangkan kerajaan BN yang dipilih rakyat Malaysia.
Berbalik kepada hasrat Anwar untuk memulakan saman terhadap Tun Mahathir, ia akan menjadi satu cabaran politik yang unik dari sudut kedudukan Umno khasnya dan di kalangan rakyat Malaysia amnya tidak kira bangsa dan kedudukan. Kes ini dijangka mendapat perhatian dan menjadi tumpuan kerajaan asing, yang akan menilai kekuatan dan kedudukan kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Para penganalisa politik menganggap kes ini sebagai suatu tindakanbalas yang berani oleh Anwar dan penyokongnya untuk mencabar Umno dan kerajaan di bawah naungan Pak Lah selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia kelima. Ada media yang dilaporkan melalui sebaran Internet, bahawa tindakan Anwar untuk menggunakan pengaruh dan kemudahan semasa berada di luar negara, ditafsirkan sebagai "government in exile".
Dr Mahathir adalah antara wira-wira negara yang akan memimpin rakyat untuk mewujudkan semangat pembangkitan rakyat agar cita-cita Anwar untuk memimpin kerajaan Malaysia melalui konsep politik Kerajaan Alternatif parti pembangkang negara, tidak akan tercapai.
Maka dengan ini, saya selaku seorang ahli Umno dan penyokong kuat BN serta mencintai negara ini tanpa berbelah bagi, ingin mendesak barisan kepemimpinan Umno agar memberikan pandangan dan reaksi rasmi Umno terhadap isu Anwar dengan tepat dan tegas, melalui persetujuan sebulat suara Majlis Tertinggi Umno, dengan secepat mungkin, sebelum terlambat.
Bukan sahaja ahli-ahli Umno merasa ada tekanan jiwa politik akibat daripada penyakit Anwarisme, bahkan mereka juga merasa kurang senang dari sudut pengaruh Anwar di dalam negara dan di luar negara. Umno harus mengambil tahu dan memantaui perkembangan masakini parti PAS yang telah dipengaruhi oleh bekas penyokong kuat Umno dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Maka, oleh yang sedemikian, wajarlah sekiranya kita menampil memberi sokongan padu terhadap apa jua tindakan balas yang bakal diambil oleh Dr Mahathir berhubung isu saman Anwar itu.
Saya cadang ditubuhkan "Tabung Bela Negara Tun Dr Mahathir Mohamad" yang mungkin dapat diusahakan bersama oleh pihak swasta atau korporat, dan sumbangan rakyat jelata, tanpa bantuan pihak kerajaan.
Semoga Allah SWT memanjangkan usia Tun Dr Mahathir Mohamad demi kepentingan rakyat dan Kerajaan Malaysia.
