Merujuk kepada surat saudara Wong Hon Wai yang mengulas tentang komen saya mengenai hak berpersatuan, saya ucapkan terima kasih kerana ada yang berminat membaca coretan saya.
Suka saya terangkan di sini Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) saya ibaratkan sebagai garisan tepi padang bolasepak adalah kerana ia digunakan untuk memberi garis panduan dan batasan kepada mahasiswa berpersatuan di samping mendisiplinkan mahasiswa dalam menceburi apa aktiviti sekalipun.
Saya mengulas tentang isu ini lantaran kenyataan saudara Lau Weng San yang menyatakan kami Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM) menyekat pelajar berpersatuan sedangkan pihak kami tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut sekiranya persatuan itu sah di sisi undang-undang dan dibenarkan.
Selain perlembagaan persekutuan yang perlu dipatuhi oleh semua warganegara, sebagai seorang mahasiswa kita terpaksa akur dengan peraturan termasuk Auku.
Seperti kita sedia maklum di sekolah rendah dan menengah kita ada peraturan yang perlu dipatuhi. Contohnya pelajar tidak dibenarkan merokok. Merokok juga adalah hak kebebasan manusia. Mengapa tidak disuarakan hak kebebasan mereka disekat?
Ini kerana kita semua tahu peraturan diwujudkan untuk mengawal tingkah laku dan untuk mendisiplinkan manusia.
Saya juga tertarik dengan kenyataan saudara Wong yang menyatakan Auku melucutkan peluang mahasiswa untuk menikmati hak berpersatuan? Bolehkah saudara menyenaraikan persatuan tersebut? Jika ini adalah fakta maka perlu dibuktikan. Adakah persatuan itu berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan?
Sekiranya pertubuhan tersebut adalah pertubuhan politik, semestinyalah Auku menyekat walaupun ia berdaftar kerana mahasiswa dilarang menjadi ahli mana-mana parti politik.
Sebagai mahasiswa, kita ada tugas lain yang lebih penting iaitu belajar dan mencapai keputusan yang baik berbanding rakan sebaya yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat ini.
Kita tidak boleh membandingkan mahasiswa dengan mereka yang tidak lagi belajar kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab yang berbeza. Setelah mereka tidak lagi berstatus mahasiswa, mereka akan menikmati hak berpersatuan yang terjamin juga dibawah perlembagaan persekutuan seperti yang saudara Wong nyatakan.
Mengulas tentang kenyataan saudara Wong bahawa mana-mana bahagian undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah dan batal. Saya bersetuju dengan saudara Wong tentang kenyataan ini. Namun jika saudara Wong anggap Auku tidak sah, saya merasakan kenyataan ini kurang intelektual kerana Auku telah digunapakai sejak sekian lama setelah digubal oleh parlimen. Adakah logik kita menggunapakai undang-undang yang tidak sah?
Jika berbicara tentang hak, memang manusia mempunyai hak yang tidak terhad sejak dahulu kala kerana mereka bebas melakukan apa saja tanpa peraturan dan perundangan. Namun, adakah saudara Wong masih hidup di kalangan masyarakat yang tidak bertamadun pada zaman ini?
Memang elok menukar tayar yang bocor daripada menampalnya, tetapi jika hanya satu tayar sahaja yang bocor jangan pula kita hendak menukar semuanya sekali. Jangan pula sampai pekedai mentertawakan kebodohan kita walaupun keuntungan dia perolehi.
Penulis adalah Naib Yang Dipertua, Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya 2005/06.
