Saya menulis mewakili kawan dan warga belia yang saya yakin terdiri dari golongan "silent majority". Kami mengecam dan mengutuk secara keras tindakan Datuk Mohd Nazri Aziz yang ingin menonjolkan diri sebagai wira dalam isu semasa ini.
Nazri merupakan pemimpin Umno dan ahli kabinet yang biadap dan tidak tahu hormati pemimpin yang telah banyak berjasa. Saya hormati hak beliau untuk bersuara tetapi saya yakin kenyataan biadap beliau tidak mewakili Umno dan kabinet.
Dr Mahathir pernah mengingatkan kita tentang sikap mudah lupa di kalangan masyarakat kita, kenyataan Nazri jelas menunjukkan sikap negatif ini.
Dr Mahathir merupakan pemimpin negara, pemimpin dunia dan pemimpin Islam. Dunia Islam hari ini mengalami krisis kepimpinan. Kekejaman dan perkosaan nilai Islam oleh Barat dan Zionis amat memilukan. Pemimpin negara Islam hari ini cuma mementingkan ekonomi negara dan ekonomi keluarga mereka.
Hak dan maruah sanggup digadaikan demi menjaga kepentingan dunaiwi. Hakikat umum, kebanyakkan pemimpin Islam hari ini adalah boneka Amerika dan Zionis. Perisikan agen Amerika dan Zionis sentiasa mengawasi kemunculan pemimpin Islam.
Bila lahir pemimpin yang dapat menyatukan umat Islam maka bermulalah propaganda untuk memburukkan pemimpin terbabit dan proses ini bermula di dalam parti dan negara.
Kita umat Islam ketandusan kepimpinan. Dr Mahathir adalah antara harapan umat Islam. Pendirian, visi serta komen beliau semasa Forum Keamanan Global tempoh hari memberikan nafas baru kepada keamanan dunia. Berbagai lapisan masyarakat yang hadir untuk forum tersebut menyokong dan menghormati pandangan beliau.
Bekas pemimpin PBB turut menyokong dan memuji keberanian serta ketokohan beliau. Malah seorang wakil persatuan Sikh telah tampil untuk menyokong beliau justeru menyamakan sikap Dr Mahathir dengan Guru Nanak.
Inilah bekas pemimpin Umno dan bekas pemimpin negara yang kini dihina oleh anak pimpinannya sendiri. Walaupun saya anggap Nazri biadap tetapi saya sentiasa menggunakan gelaran "beliau" bukan "dia".
Ibu saya dari bangsa Melayu dan ayah saya berbangsa India tetapi kedua-dua adat dan budaya bangsa ini sentiasa mengajar saya sikap bersopan santun serta menghormati orang tua, lebih-lebih lagi pemimpin negara.
Saya keliru dengan komen Nazri pada sidang akhbar, Isnin 26 Jun, dan memohon penjelasan umum dari beliau.
- Adakah beliau menyatakan bahawa beliau dan anggota kabinet dahulu berkhidmat di bawah kepimpinan seorang diktator?
Sebagai ahli Umno, saya akan menghalang beliau dari keluar dari parti yang telah beliau martabatkan. Pihak yang mendorong beliau keluar parti Umno adalah pengkhianat bangsa.
Dr Mahathir adalah pemimpin yang amat disayangi dan dihargai oleh majoriti rakyat Malaysia dan dunia. Sokongan dan kesetiaan kepada Dr Mahathir masih luas.
Nazri harus sedar, kenyatan beliau mencemarkan imej kabinet Datuk Abdullah Ahmad Badawi. Kami hormati Perdana Menteri sebagai pemimpin berakhlak mulia dan kami memohon beliau bertindak terhadap anggota kabinet yang kurang bermoral.
