Nazri cabar Dr. M jadi 'jantan'
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz mencabar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohmad bertindak 'jantan' dengan keluar dari Umno secara sukarela.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz mencabar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohmad bertindak 'jantan' dengan keluar dari Umno secara sukarela.
Dalam sidang media yang hangat selama kira-kira 45 minit di lobi Parlimen hari ini, Nazri berkata, jika Dr. Mahathir terus kekal dalam Umno, beliau hanya akan menjadi kaki bangkang.
" Lebih baik kalau Dr. Mahathir bertindak jantan, tinggalkan Umno," katanya.
Komen keras Nazri pagi ini adalah serangan terbaru dari anggota kabinet Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap bekas Perdana Menteri itu selepas 'perang mulut' antara Dr. Mahathir dan kerajaan reda sejak seminggu lalu.
Sebelum ini ada spekulasi bahawa Abdullah dan Majlis Tertinggi (MT) Umno mahu memecat Dr. Mahathir ekoran kelantangan beliau mengkritik kerajaan. Bagaimanapun mesyuarat MT Umno pada Isnin lalu tidak membincangkan soal pemecatan tersebut.
Serangan terbaru Dr. Mahathir terhadap Abdullah dan pentadbirannya dibuat Sabtu lalu dalam satu majlis ceramah Dr. Mahathir di Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor.
Nazri turut mempertahankan menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin yang menjadi sasaran Dr. Mahathir dalam satu majlis dialog di Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor Sabtu lalu.
"Orang tua berusia 81 tahun mahu bergaduh dengan orang muda berusia 31 tahun. Lebih baik Dr. Mahathir bergaduh dengan orang seusia dengannya.
"Semata-mata kerana dia marahkan seorang tokoh muda dia nak musnahkan negara ini," tekan Nazri lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu membidas Dr Mahathir kerana kini sanggup duduk bersama dengan orang yang pernah menggelarnya Firaun satu ketika dulu.
"Bagaimana beliau boleh duduk dengan Nasharuddin Mat Isa, Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar yang memanggil beliau sebagai Firaun semasa beliau menjadi Perdana Menteri," persoal Nazri.
Para pemimpin PAS itu adalah antara orang-orang politik yang menghadiri majlis ceramah tersebut.
Turut hadir bekas Ketua Penerangan Umno, Datuk Megat Junid Megat Ayub, bekas Timbalan Mentri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ibrahim Ali dan beberapa pemimpin DAP dan Parti Keadlan Rakyat (PKR).
Nazri yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno juga berkata, perang terbuka antara Dr Mahathir dan kerajaan telah bermula.
Dalam sidang akhbar itu Nazri turut menuduh Dr Mahathir sebagai seorang pembohong.
"Tun Dr Mahathir pernah berjanji depan saya dan juga kabinet bahawa bahawa beliau tidak akan mencampuri urusan kerajaan selepas beliau bersara.
"Kini semua janjinya telah dilanggar dan ini bermakna Tun Dr Mahathir merupakan seorang pembohong," katanya lagi.
Nazri juga menafikan dakwaan Dr. Mahathir bahawa kerajaan telah mengarahkan media massa menyenaraihitamkan beliau.
" Terpulang kepada media untuk menyiarkan berita mengenai Dr. Mahathir atau tidak. Kerajaan bersikap terbuka berbanding zaman Dr. Mahathir dulu di mana Dr Mahathir tidak suka malaysiakini dan Malaysia Today sampai tidak boleh masuk Parlimen. Tapi zaman Pak Lah kedua-dua akbar Internet dapat masuk Parlimen," katanya lagi.

