Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merujuk kepada surat pembaca dari kalangan ibu bapa yang menyatakan para pelajar menjadi bosan kerana tidak melakukan apa-apa di sekolah selepas selesai peperiksaan akhir sebelum cuti penggal akhir persekolahan.

Jika matapelajaran tidak diajar, maka para pelajar mungkin membuang masa tanpa melakukan sebarang aktiviti yang membina. Daripada dibiarkan tidak berbuat apa-apa di kelas, mereka boleh dibenarkan bercuti sebaik sahaja selepas peperiksaan akhir mereka.

Melainkan pelbagai aktiviti dirancang untuk mereka, seperti latihan kemahiran, sukan atau peningkatan pengetahuan am, maka pelajar bolehlah dibenarkan menghabiskan masa mereka di rumah. Langkah ini boleh mengurangkan masa perjalanan dan perbelanjaan.

Tambahan lagi, cuti tambahan ini boleh digunakan oleh para guru untuk menghadiri kursus atau menangani kerja kerja lain yang tidak berkaitan dengan pengajaran. Mereka kemudiannya boleh mengajar apabila mereka diperlukan.

Penulis adalah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.