Most Read
Most Commented
Read more like this

Berdasarkan surat dari Alias Mohd Yusof , saya pasti beliau adalah seorang yang benar-benar memahami maksud perpadaun dan benar-benar mahukan perpaduan antara kaum di negara kita, kekal dan dieratkan lagi.

Soalan yang beliau bangkitkan sangat logik, iaitu, mengapakah ahli-ahli politik tidak peduli apabila statistik sekolah menunjukkan tiada seoarang pun murid darjah 1 yang terdiri dari kaum Cina pada sessi 2008 di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pulai, Daerah Kulai, Johor.

Bukan sahaja di sekolah tersebut, malah di mana-mana sekolah kebangsaan pun, bilangan kaum bukan Melayu yang masuk ke darjah 1 semakin berkurangan.

Saya sendiri pun pernah berjumpa sekolah-sekolah sedemikian. Jadi, apakah punca yang menyebabkan ibubapa bukan Melayu tidak menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan.

Saya mempunyai tiga orang anak yang belajar di sekolah kebangsaan. Sejak anak pertama saya mula pergi ke sekolah (sekarang dia di Tingkatan 2), saya memerhatikan banyak perubahan yang berlaku dalam masa tujuh tahun yang lepas. Contohnya, semasa anak saya itu di darjah 4, dia dipaksa oleh seorang guru supaya memakai tudung (bukannya skaf) untuk pertandingan 'oral speaking'.

Yang peliknya, syarat ini tidak diletakkan pada masa pemilihan murid atau semasa latihan. Hanya beberapa hari sebelum pertandingan bermula, barulah syarat ini dikenakan ke atas murid bukan Melayu.

Satu lagi contoh, anak ketiga saya dan murid bukan Islam di darjah 2 tahun ini, diletakkan dalam satu kelas bersama murid beragama Islam semasa mata pelajaran agama Islam. Ia sudah lama berlaku tanpa pengetahuan saya atau ibubapa murid bukan Islam yang lain.

Saya hanya dapat tahu perkara ini apabila saya pergi melawat anak saya pada suatu hari. Apabila saya membawa hal ini kepada guru besar, alasannya ialah guru kelas moral cuti bersalin dan tiada guru gantian walaupun sudah dipohon kepada Jabatan Pendidikan. Tetapi saya tidak setuju dan akhirnya pihak sekolah bersetuju untuk memindahkan semua murid bukan Islam ke kelas lain ketika kelas Islam.

Dan baru-baru ini pula (berlaku tahun ini), kedua-dua anak saya memberitahu saya bahawa dua guru Melayu meminta kesemua murid Islam dalam kelas supaya bangun dan membaca doa sebelum memulakan pelajaran Sains atau BM (walaupun murid bukan-Islam tidak perlu membaca doa tersebut). Kedua-dua anak saya tadi belajar di sekolah yang berlainan.

Hal-hal sebegini tidak berlaku pada masa dahulu dan hanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak unsur keagamaan dibawa masuk ke sekolah tanpa mengambilkira sensitiviti murid bukan Islam. Jadi, apakah ibubapa bukan Melayu akan buat? Terpaksalah mereka hantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil.

Pada pendapat saya, unsur-unsur keagamaan tidak harus dibawa masuk ke sekolah kebangsaan kerana ia adalah sekolah milik semua kaum tanpa mengira agama atau bangsa. Kelas agama Islam boleh dibenarkan tetapi tindakan menempatkan murid bukan Islam dalam kelas yang sama, adalah sesuatu yang menyinggung perasaan kaum lain. Memaksa murid bukan Islam supaya memakai tudung pulak, lagi tidak harus dibenarkan sama sekali di mana-man sekolah pun.

ADS