Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Calon bebas DUN Bukit Selambau, A Jayagopal mendakwa beliau masih lagi ahli PKR dan belum dipecat dari parti itu.

Jayagopal berkata, beliau hanya digantung keahlian dan bukannya dipecat seperti dalam kenyataan Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali semalam.

‘Mana pecat, surat pun tidak ada. Saya hanya digantung sahaja sejak setahun lalu," katanya ketika menghubungi Malaysiakini hari ini.

bukit selambau nomination 290309 a jayagopal Jayagopal mendakwa seorang lagi calon bebas, S Arumugam juga merupakan ahli PKR bahagian Merbok.

Jayagopal, calon bebas yang menggunakan lambang payung berkata, beliau telah menghadap lembaga disiplin PKR di ibu pejabat parti di Petaling Jaya pada 22 November lalu.

Bagaimanapun, katanya, lembaga disiplin tidak membuat keputusan atas alasan belum mengambil keterangan dari dua pemimpin PKR Kedah, Johari Abdul dan Zamri Yusof.

Johari kini ahli Parlimen Sungai Petani manakala Zamri pernah menjadi pengerusi perhubungan PKR Kedah pada 2007.

Menurut Jayagpopal, PKR menggantung keahliannya kerana membawa parti ke mahkamah dalam isu pembatalan bahagian Pokok Sena pada 2007.

Semalam, Syed Husin menjelaskan bahawa dua calon bebas yang yang bertanding dalam pilihanraya kecil Bukit Selambau 7 April ini, bukan lagi ahli parti tersebut.

Menurutnya, mereka adalah Jayagopal dan Md Radzi Md Lazim.

Sementara itu, Jayagopal berkata, beliau akan membawa Zamri ke mahkamah kerana mendakwa beliau bukan ahli PKR Pokok Sena yang dijadikan alasan untuk membubarkan bahagian tersebut pada 2007.

"Sedangkan saya yang menubuhkan bahagian Pokok Sena pada 1999," katanya.

ADS