Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penduduk selamat, kilang guna sianida
Diterbitkan:  Jun 25, 2009 4:32 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Projek lombong emas di Bukit Koman, Raub tidak membahayakan kesihatan hampir 3,000 penduduk walaupun ia menggunakan bahan kimia beracun sianida.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat beliau bersama pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan Pahang di Kuantan hari ini.

Pertemuan itu diadakan susulan aduan penduduk Bukit Koman mengenai bahan kimia, yang digunakan oleh kilang Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd dalam aktiviti melombong emas, membahayakan kesihatan mereka, lapor Bernama .

Selasa lalu, beliau menerima memorandum daripada Jawatankuasa Bertindak Menentang Penggunaan Sianida Bukit Koman di Parlimen.

"Aduan itu menyatakan gangguan bunyi bising dihasilkan oleh kilang itu mengganggu mereka namun hasil kajian JAS, yang meletakkan alat ukuran bunyi bising itu mendapati bunyi yang dikeluarkan adalah hanya 48.7 desibel iaitu masih di bawah paras yang ditetapkan JAS iaitu 55 desibel," Murugiah dipetik berkata.

Tambahnya, bau kurang menyenangkan seperti dakwaan penduduk juga tidak benar kerana sisatan JAS menunjukkan ia di bawah paras yang ditetapkan JAS.

Murugiah juga berkata air Sungai Koman selamat untuk kegunaan manusia setelah didapati hasil kajian ke atas sampel air sungai itu serta sungai-sungai berdekatan tidak mengandungi sianida.

"Bagaimanapun pemantauan berkala ke atas sampel air masih dijalankan oleh JAS dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan di sekitar lombong itu selamat diduduki manusia," katanya.

Hasil kajian Kementerian Kesihatan mengenai tahap kesihatan

penduduk sekitar kawasan itu, Murugiah dilaporkan berkata, menunjukkan tiada kesihatan penduduk terjejas akibat bahan kimia sianida.

Beliau berkata pada Mac lepas, jabatan kesihatan negeri menemubual

153 orang tentang tahap kesihatan mereka, 93 orang diperiksa dan hasilnya mendapati enam daripada mereka mengadu sakit kepala dan pening.

"Enam orang ini telah dihantar ke klinik kesihatan berdekatan dan

pemeriksaan doktor mendapati sakit kepala dan pening yang dihadapi mereka tidak berkaitan dengan bahan kimia itu namun Jabatan Kesihatan negeri akan terus jalankan pemantauan sekiranya terdapat kes dilaporkan ada kena-mengena dengan sianida," katanya.

ADS