Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Shuhaily Zain dilaporkan kembali berkhidmat dalam pasukan polis di bawah pejabat Ketua Polis Negara, Khalid Ismail.

Free Malaysia Today (FMT), memetik notis pertukaran yang ditandatangani Khalid melaporkan Shuhaily kini ditempatkan di Sekretariat Ketua Polis Negara (Perancangan Strategik dan Hal Ehwal Antarabangsa).

Pertukaran itu berkuat kuasa pada 24 Nov dengan Shuhaily menyandang semula pangkat terdahulunya sebagai komisioner polis.

Pada 21 Okt lalu, Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan menyerang dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada September lalu.

Susulan pertuduhan itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementeriannya memutuskan untuk menamatkan peminjaman Shuhaily ke AKPS.

Bagaimanapun, Shuhaily dilihat kembali menjalankan tugas sebagai ketua pengarah AKPS pada 2 Nov dengan mempengerusikan mesyuarat komander selepas dilaporkan “bercuti” pada minggu sebelumnya.

Pada 14 Nov, Khalid berkata dia belum menerima sebarang arahan berhubung penempatan semula Shuhaily dalam pasukan polis, sambil menjelaskan bahawa pelantikan Shuhaily oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua pengarah AKPS adalah bagi tempoh dua tahun.

Shuhaily yang sebelum ini berkhidmat sebagai pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dipinjamkan ke AKPS pada 1 Julai tahun lalu.