Menjenguk Gus Dur
Abdul Rahim Sabri
Nov 26, 09
5:22pm
Travelog Menjenguk Abdurrahman Wahid atau Gus Dur adalah satu perkara yang ditunggu-tunggu. Kami sekali lagi bertolak ke Ciganjur, Jakarta Selatan kira-kira jam 9 pagi hari terakhir kami di Kota Jakarta.

Gus Dur adalah bekas presiden Indonesia yang ke-4 dan mantan ketua umum Nahdatul Ulama (NU) - sebuah organisasi Islam terbesar di Indonesia. Kami difahamkan, terdapat lebih 40 juta rakyat republik itu menganggotai organisasi tersebut.

jakarta 141109 gus durPada asalnya pihak penganjur membuat temujanji dengan Gus Dur sewaktu bertemu dengan isterinya, Ibu Sinta Nuriyah, beberapa hari lalu. Pada masa itu, Ibu Sinta tidak dapat memastikan sama ada kami dapat bertemu suaminya itu.

Ini kerana, ia bergantung kepada tahap kesihatan beliau dan ketika itu beliau sedang mendapatkan rawatan di hospital. Bagaimanapun, dua hari kemudiannya, kami dimaklumkan bahawa Gus Dur sudi menerima kami sebagai tetamu khasnya dan menjemput kami ke rumahnya.

Alangkah seronok bukan kepalang, bila mengetahui hasrat kami dikabulkan, apatah lagi majoriti peserta rombongan dapat bertemu buat kali pertama dengan bekas pemimpin republik itu, termasuk saya sendiri.

Perjalanan ke Ciganjur, mengambil masa kira-kira sejam, tidak seperti hari sebelum ini kami hampir tersesat sehingga mengambil masa hampir dua jam untuk sampai ke rumahnya.

Bas yang kami naiki tiba di hadapan masjid yang mana rumah Gus Dur terletak di belakang masjid tersebut. Pegawai peribadinya sedia menunggu kami di situ.

Sewaktu berjalan masuk ke perkarangan rumahnya, saya dapati lamannya cukup luas, bersih dan terdapat sebuah kawasan lapang dan beberapa buah kereta mewah diparkir di dalam garaj.

Kemudian, kami bersalaman dengan Gus Dur yang memang sedia menanti kami dan sedang duduk di atas kerusi. Kami duduk bersila dan bersimpuh di hadapannya, seperti pelajar pondok sedang "menadah" kitab sewaktu mendengar syarahan dari seorang kiyai.

Saya lihat beliau masih lagi berada dalam keadaan lemah dan letih dan keadaaan matanya yang kabur. Sungguhpun begitu, beliau masih mampu melayan dan menjawab soalan.

Kami bertanyakan mengenai kesihatan beliau sekarang ini, beliau juga menjawab, "sihat-sihat saja", walaupun kami mengetahui beliau baru sahaja pulang daripada hospital.

jakarta 141109 gus dur ciganjur southGus Dur adalah seorang ramah dan selalu membuat jenaka sewaktu bersembang, walaupun kadang-kadang butiran katanya tidak jelas kedengaran atau kerana telor Indonesia yang pekat.

Sewaktu pemerintahan beliau pada tahun 1999, Gus Dur pernah mengusulkan supaya dicabut larangan diskriminasi terhadap bekas aktivis, anggota atau mereka yang dituduh terlibat sebagai anggota Parti Komunis Indonesia (PKI).

Selama tiga dekad di bawah pemerintahan Orde Baru, golongan itu kehilangan hak-hak sebagai warganegara, tidak berhak memilih dan dipilih serta diwajibkan melaporkan diri kepada pihak berwajib secara rutin dan berkala. Mereka juga kesulitan mencari pekerjaan, dan disisih daripada masyarakat kerana dianggap berbahaya.

Selain itu, Gus Dur juga mengusul untuk mencabut Instruksi Presiden (Inpres) tentang Agama, Kepercayaan dan Adat Istiadat Cina. Ini bermakna kaum Cina berketurunan Tiong Hua boleh menyelenggara kegiatan keagamaan mereka tanpa meminta izin secara khusus daripada pemerintah.

Bagaimanapun cadangan Gus Dur itu ditolak oleh parlimen dan mendapat reaksi balas apabila diprotes di Indonesia kerana beliau dianggap bersimpati dengan komunisme.

Sambil kami menikmati air teh dan kuih yang terhidang, kami juga mendapat penjelasan beliau yang dikatakan memberi sokongan dan dukungan kepada pengasas Jaringan Islam Liberal (JIL) Ulil Abshar Abdalla untuk bertanding merebut jawatan ketua umum NU.

Tokoh agama itu berkata, beliau akan bertemu dengan bapa mertua Ulil Abshar itu di Rembang, Surabaya pertengahan bulan ini.

Ini kerana untuk membincangkan sama ada bapa mertua tokoh Islam liberal itu juga bersedia untuk bertanding merebut jawatan di dalam kongres NU 22 Mac tahun hadapan.

Katanya, sekiranya bapa mertua Ulil itu bersedia untuk bertanding, maka beliau tidak akan mendukungi Ulil Abshar untuk bertanding jawatan tersebut.

Tambah Gus Dur lagi, semua individu yang bertanding mestilah melalui proses pemilihan daripada perwakilan yang hadir.

Kira-kira lebih sejam berada di situ, kami juga dihiburkan dengan nyanyian lagu gurindam Melayu dan Mek Mulong - sekali lagi dinyanyikan oleh Zamzuriah Zahari. Ia adalah permintaan khas dari Ibu Sinta Nuriyah yang setia bersama kami sejak awal pertemuan dengan Gus Dur.

Ibu Sinta Nuriyah ternyata sekali tersenyum gembira dan seronok dengan nyanyian tersebut.

Setelah lebih sejam pertemuan itu, kami meminta izin untuk pulang, dan terus ke Gelang Mas - pusat membeli belah - untuk membeli barang oleh-oleh semasa di sana.

Gelang Mas adalah sebuah gedung membeli belah, setinggi lapan tingkat dan seluas kira-kira bangunan IKEA yang terdapat di Damansara. Ia terletak kira-kira setengah jam perjalanan dari lapangan terbang antarabangsa Soekarno-Hatta.

Selepas puas membeli belah di situ, pada kira-kira jam 4.15 petang, kami bertolak ke lapangan terbang tersebut untuk berlepas pulang pada jam 8.15 malam.

Sesungguhnya, lawatan ini amat bermakna buat kami, terutama yang pertama kali menjejak kaki di republik itu. Pelbagai peristiwa manis dan pahit dilalui. Semoga dapat datang kembali, Au Revoir (selamat tinggal), Jakarta!

Hari ke-6: Gelora Bung Karno

Hari ke-5: Diskusi bersama Kiyai Husein

Hari ke-4 (bah 2): Bertemu tokoh Islam liberal

Hari ke-4 (bah 1): Beramah mesra dengan isteri Gus Dur

Hari ketiga: Berkurung setahun selepas dimadu

Hari kedua (bah 2): Berkunjung ke Komunitas Salihara

Hari kedua (bah 1): Rahima perjuang hak wanita Islam

Hari pertama: Terhoyong-hayang ke pesantren

 
Untuk penguna Maxis, UMobile, Digi , dapatkan berita sms
Dapatkan Mobilekini untuk membaca cerita penuh di telephone bimbit
Singkatan berita setiap hari
Email:
Bersamalah 2800+ kawan di kumpulan Facebook Malaysiakini
Ikuti berita Malaysiakini menerusi Twitter
Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner