Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Travelog Kami memerhatikan seorang wanita bertudung putih sedang mengukir senyuman dari jauh. Walaupun hanya berkerusi roda, dia kelihatan bertenaga dan gembira menyambut kedatangan kami. Kami bersalaman dengannya, tanda hormat.

NONE Wanita yang dimaksudkan ialah Ibu Sinta Nuriyah, isteri kepada mantan presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid. Ibu Sinta Nuriyah adalah pengasas pesantren yang bernama Puan Amal Hayati.

Ibu Sinta Nuriyah berkata perkataan "Puan" itu bukan satu pangkat kepada wanita, tetapi membawa maksud 'Pesantren untuk Pemberdayaan Perempuan' dan "Amal Hayati" pula bermaksud 'harapan hidupku'.

Pesantren ini yang ditubuhkan pada 3 Julai 2000 untuk memberdayakan kaum wanita bagi mendapatkan kehidupan yang lebih baik di masa mendatang dan menghapuskan kekerasan terhadap mereka, kata Ibu Sinta memulakan bicara.

Puan Amal Hayati adalah sebagai asas pergerakan keadilan, nilai-nilai pluralisme dan kesetaraan bagi wanita melalui pembelaan, pengajian kitab-kitab agama serta penyebaran maklumat.

Menurut Ibu Sinta, institusi ini juga turut menubuhkan lima bahagian dalam usaha untuk menentukan matlamat penubuhannya terfokus dan melicinkan program-program yang diatur.

Bahagian tersebut adalah Pendampingan Korban, Forum Kajian Kitab Kuning (FK3), Sosial Kemanusiaan, Pengembangan Pluralisme/Kerukunan Umat Manusia serta bahagian penerbitan.

Hampir tersesat

Perjalanan ke Ciganjur, Jakarta Selatan, mengambil masa hampir dua sejam bermula jam 8.30 pagi. Ia ekoran kesesakan di bandar Jakarta dan rombongan kami hampir-hampir saja tersesat.

NONE Jenuh ahli rombongan terutama Saidiman, seorang mahasiswa Universiti Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah Jakarta, bertanyakan kepada orang ramai untuk mencari jalan ke sana.

Bas yang kami naiki memasuki perkarangan Puan Amal Hayati yang terletak dalam satu kawasan yang luas. Di dalam kawasan itu terdapat sebuah masjid dan parkir kereta yang boleh memuatkan kira-kira 250 kereta pada satu-satu masa.

Masjid itulah menjadi tempat di mana Abdurrahman Wahid atau lebih dikenali Gus Dur memberi kuliah dan ceramah. Ia juga menjadi tempat pelajar pesantren mendapatkan pelajaran.

Dalam diskusi bersama ibu Sinta Nuriyah, beliau berkata pesantrennya itu menjadikan kitab-kitab kuning (klasik) yang diajar kepada orang ramai terutamanya di kalangan wanita.

Salah satu kitab yang digunakan adalah "Uqud al-Lujain fi Bayan Huquq al-Zaujain" yang dikarang oleh Sheikh Nawawi al-Bintani. Kitab ini adalah kitab fekah yang membicarakan tentang hak-hak suami isteri dalam melayari bahtera kehidupan.

Kata Ibu Sinta Nuriyah, pondoknya mendirikan satu bahagian iaitu Forum Kajian Kitab Kuning yang cuba memberikan interprestasi baru terhadap isi kandungan buku tersebut mengikut konteks Indonesia.

Bias gender

"Kitab-kitab fiqh, banyak yang bias gender, jadi kami cuba interpretasi baru kitab kuning ini secara teks dan kontekstual ," katanya.

Dengan penuh semangat, ibu Sinta Nuriyah memberi contoh sebuah potongan ayat al-Quran, Surah Al-Nisa' ayat 34 iaitu lelaki adalah penguasa bagi perempuan.

NONE Katanya, dalam ayat ini, lelaki diberi keutamaan dan kelebihan kerana tugasnya memberi nafkah kepada keluarga tetapi kalau mengikut konteks terkini di Indodnesia dengan kekurangan pekerjaan, ia menuntut juga perempuan untuk bekerja.

Dalam konteks itu, beliau menjelaskan perempuan juga boleh bersama-sama lelaki untuk keluar dari rumah dan mencari perkerjaan bagi menyara kehidupan keluarga, sekaligus mengetepikan pandangan bahawa Islam melarang wanita bekerja.

"Sekarang adalah masanya perempuan juga mencari harta dan mencari nafkah," katanya.

Pandangan itu juga kata Ibu Sinta, bukan untuk menggalakkan suami untuk duduk di rumah berpeluk tubuh, sebaliknya kedua-duanya perlu saling berkerjasama dan tolong menolong satu sama lain untuk meneruskan kesinambungan kehidupan.

Dalam pentafsiran ayat-ayat al-Quran juga, Ibu Sinta Nuriyah juga menggunakan data-data penyelidikan untuk mengukuhkan lagi pentafsiran sesuatu ayat itu.

Pesantren berpengaruh

Pesantren yang berpengaruh dalam masyarakat itu juga mempunyai tujuh cawangan di beberapa buah kawasan di Indonesia.

Tujuh cawangan tersebut adalah di Jember, Malang, Madura, Probolinggo, Tasikmalaya, Indramayu dan Lombok Barat.

Sambil bersembang dan menghirup teh, Ibu Sinta Nuriyah dan rombongan dihiburkan beberapa lagu tradisional Melayu antaranya Mek Mulong. Ia dinyanyikan salah seorang daripada ahli rombongan kami - Zamzuriah Zahari - seorang pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan kebangsaan (ASWARA).

Saya lihat Ibu Sinta tekun dan khusyuk mendengar butiran lirik lagu tradisional Melayu itu.

"Aduh, merdu sekali suaranya," kata Ibu Sinta Nuriyah yang menggamit gelak ketawa dan tepukan gemuruh.

Menurutnya, beliau selalu ke cawangan pesantren itu berjumpa dan mengajar penuntut wanita dan lelaki di situ. Beliau juga selalu mendampingi golongan lemah dan tidak berkemampuan sebagai salah satu aktiviti kebajikan Puan Amal Hayati.

Sebagai contoh dalam bulan Ramadan, Ibu Sinta Nuriyah mengadakan lawatan ke daerah-daerah dan mengajak mereka bersahur bersama.

Bersahur bersama

"Ia satu pekerjaan yang mulia. Saya bersahur bersama mereka di tempat kerja, di tepi pasar, dalam bangunan dan bersahur di bawah jambatan," katanya.

NONE Selain itu, beliau juga mengajak penduduk semua agama - Kristian, Buddha atau Hindu - untuk bersahur bersamanya atau sekurang-kurangnya membantu menyediakan makanan untuk bersahur.

"Reaksi mereka cukup baik. Sekiranya saya tidak ada di situ pun, mereka akan bangun tidur dan menyediakan sahur. Usaha mereka harus dihargai, bukan dicurigai. Amalan bantu membantu harus dihargai.

"Manusia dijadikan oleh Allah, bersuku-suku untuk saling bergaul. Kita semua temasuk, Jawa, Cina, India, Kristian atau Islam, semuanya bergaul bersama dengan baik," katanya.

Menurut Ibu Sinta lagi, Puan Amal Hayati juga mengusahakan penerbitan majalah, dan buku-buku ilmiah.

Ibu juga berbicara mengenai tindakan kekerasan dalam Islam daripada kumpulan-kumpulan yang mendakwa diri mereka benar dan mengkafirkan orang lain. Mereka mendakwa kumpulan mereka benar dan kumpulan lain adalah sesat.

"Yang menentukan masuk syurga, adalah Allah bukan manusia. Ajaran Islam itu adalah memberi rahmat kepada seluruh manusia untuk semua manusia," katanya.

Sebelum pulang, kami dihadiahkan dengan majalah "Tantri" yang diterbit setiap tiga bulan oleh Puan Amal Hayati.

Esok: Bertemu tokoh Islam liberal

Hari ketiga: Berkurung setahun selepas dimadu

Hari kedua (bah 2): Berkunjung ke Komunitas Salihara

Hari kedua (bah 1): Rahima perjuang hak wanita Islam

Hari pertama: Terhoyong-hayang ke pesantren

ADS