Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda Umno bahagian Padang Besar hari ini menggesa Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan ADUN Titi Tinggi Yip Sun Onn supaya mengadakan majlis dialog dengan para pengundi di situ berhubung isu peletakan jawatan wakil rakyat tersebut.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Padang Besar, Aidi Helmi Mohamed berkata gesaan itu dibuat dalam pertemuan empat wakil Pemuda Umno bahagian tersebut, termasuk beliau sendiri, dengan setiausaha politik menteri besar, Azali Abas petang ini.

Pertemuan selama satu sejam mulai pukul 4.45 petang tadi diadakan atas permintaan Azali ekoran tindakan pemimpin akar umbi Umno Padang Besar mengadakan mesyuarat tergempar malam kelmarin, menyokong peletakan jawatan Yip.

Yip bagaimanapun telah menarik balik peletakan jawatannya lewat petang semalam selepas dipujuk oleh kepimpinan BN Perlis.

Aidi Helmi berkata, selain beliau, perjumpaan di sebuah restoran di bandar Kangar itu dihadiri oleh  dua ahli jawatankuasa Pemuda bahagian Azizan Khamis dan Khalid Mat Ros serta penyelaras Pemuda Umno kawasan Titi Tinggi, Shahidan Ibrahim.

"Dalam pertemuan itu kami mencadangkan majlis dialog antara YB Yip dan Datuk Seri Dr Md Isa bagi membuat penjelasan (kepada pengundi) supaya isu (peletakan jawatan) ini dapat ditangani dengan baik," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Menurut Aidi lagi, pertemuan itu lebih menjurus kepada luahan rasa tidak puas hati mereka terhadap "wajah sebenar" Yip di kawasan Titi Tinggi.

"Kami meluahkan bahawa beliau kurang digemari di kawasan terutama ahli akar umbi komponen BN dan pengundi atas pagar.

"Jika beliau dikekalkan, ia akan memberikan kesan kepada imej BN menjelang pilihan raya ke 13 yang akan menjelang tidak lama lagi," kata Aidi Helmi.

Apatah lagi, tambah Aidi Hilmi yang juga bendahari Pemuda negeri, DAP "sudah masuk jarum" dengan menubuhkan beberapa cawangan di bahagian tersebut.

"Itu kerusi MCA, jadi mahu tidak mahu calon berketurunan Cina (juga) yang akan menjadi calonnya," katanya.

Ditanya mengenai reaksi Azali berhubung luahan mereka itu, Aidi Helmi mendakwa beliau "cuba menyembunyikan rasa terkejut" kepada reaksi balas mereka terhadap peletakan Yip.

Menurutnya lagi, Azali "hanya menegaskan agar mereka sentiasa mengutamakan parti".

Aidi juga berkara, Azali tidak menyentuh langsung mengenai kenyataan mereka semalam, sebaliknya  "menunjukkan keadaan mesra" untuk mendengar luahan mereka.

"Sekiranya tidak menangani isu ini dengan bijaksana, ia akan mengundang masalah kepada BN dalam pilihan raya.

"Pemimpin harus melihat isu ini dengan lebih mendalam kerana mungkin memberi implikasi kehilangan satu kerusi di Perlis," kata Aidi Helmi.

Kelmarin, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Yazid Mat mengesahkan bahawa beliau menerima surat peletakan jawatan Yip Sun Onn susulan tidak berpuas hati dengan dengan pucuk pimpinan MCA pusat.

Bagaimanapun, Yazid semalam dilaporkan berkata wakil rakyat itu menarik balik surat peletakan jawatannya melalui satu kiriman SMS dan pilihan raya kecil tidak perlu diadakan.

ADS