Malaysiakini BERITA

Pemimpin Umno Padang Besar mahu Yip berhenti

Abdul Rahim Sabri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Barisan kepemimpinan akar umbi Umno bahagian Padang Besar menyokong penuh hasrat ADUN Titi Tinggi, Yip Sun Onn untuk meletak jawatan.

azlan Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat tergempar yang berlangsung malam tadi yang dihadiri oleh kira-kira 30 pemimpin akar umbi bahagian.

Mereka termasuk empat pemimpin kanan Pemuda bahagian serta empat ahli jawatankuasa bahagian.

DUN Titi Tinggi terletak di bawah kawasan Parlimen Padang Besar.

Ketika mengesahkan perkara itu, sumber-sumber Pemuda bahagian berkata berkata ini kerana Yip tidak komited untuk terus berkhidmat.

"Oleh kerana beliau sudah patah semangat untuk berkhidmat," kata sumber-sumber itu.

Sementara itu, ketua penerangan Pemuda Umno bahagian Padang Besar, Aidi Helmi Mohamed mengeluarkan kenyataan media menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Yip berhubung perletakan jawatannya seperti yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia hari ini.

Menurutnya, penafian itu dibuat setelah berbincang dengan ketua Pemuda bahagian, Mohsin Yusof dan ahli jawatankuasa Pemuda DUN Titi Tinggi.

Laporan media itu menyebut: “Namun Sun Onn juga berjanji akan tetap bersama-sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mencari kaedah yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut tersebut. Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pemuda Umno kerana semangat Barisan Nasional (BN) dan setiakawan serta masih tetap bersama-sama saya ketika saat genting ini."

Mengulas mengenainya, Aidi Helmi berkata pihaknya tidak pernah diajak berbincang sama ada sebelum, semasa dan selepas surat tersebut dikeluarkan dan tidak pernah mengadakan apa-apa pertemuan sama ada untuk memujuk beliau menarik balik surat tersebut.

Sebaliknya, beliau mendakwa Yip telah berbohong dan mempergunakan nama Pemuda Umno untuk menutup keterlanjurannya menyerahkan surat tersebut.

"Kenyataan beliau disifatkan sebagai amat menghina keberadaan kami dalam parti komponen BN, khususnya di bahagian Padang Besar," tambahnya.

Sehubungan itu, Aidi Helmi berkata, Pemuda Umno Padang Besar menyokong sepenuhnya hasrat Yip untuk meletakkan jawatan kerana mendakwa "beliau dilihat gagal secara keseluruhannya sebagai wakil BN di kawasan Titi Tinggi."

Beliau juga mendakwa Yip lebih mementingkan diri sendiri kerana kecewa dengan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan penggal kedua beliau sebagai exco kerajaan negeri Perlis.

"Dengan keabsahan surat perletakan jawatan beliau, kami merasakan seperti tiada lagi wakil rakyat yang komited untuk berkhidmat kepada rakyat, khususnya pengundi yang telah memberi kemenangan besar kepada YB Yip dalam kawasan," katanya.

Oleh itu, kata beliau, pihaknya mendesak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) supaya mengadakan pilihanraya kecil bagi menggantikan Yip.

"Kami Pemuda Umno Padang Besar merasakan  satu penghinaan terancang yang dibuat oleh YB Yip atas kenyataan yang dikeluarkan kerana nyata kami tak pernah diajak berbincang mengenai hasrat dan keinginan semasa beliau," katanya.  

Beliau juga mendakwa menteri besar Perlis juga berbohong dalam kenyataan medianya yang menyatakan pengundi masih sayangkan Yip.

Kenyataan tersebut, tambahnya, dibuat tanpa merujuk kepada keadaan sebenar di Titi Tinggi.

Dengan penafian tersebut, kata beliau, pihaknya berharap Yip dan pihak yang bersangkutan, tidak lagi melibatkan Pemuda Umno Padang Besar apabila mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Sebarang kenyataan yang hendak dikeluarkan mestilah merujuk kepada Pemuda Umno bahagian.

"Kami amat berharap YB Yip dan mereka yang berkenaan memohon maaf secara secara terbuka atas nama setiakawan BN selepas kenyataan media ini disiarkan," tambanya.