Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PKR Perak hari ini mendakwa tiga ADUN Umno akan melompat parti kerana dikatakan tidak berpuashati dengan Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Pada tahun 2009, kerajaan negeri Pakatan Rakyat tumbang selepas sepuluh bulan mentadbir Perak selepas tiga ADUN Pakatan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas yang mesra BN.

Mereka ialah dua ADUN PKR - Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu - dan ADUN DAP Foong Hee Yit.

Hari ini, ketua penerangan PKR Perak, Zulkifly Ibrahim memberitahu satu sidang media di Ipoh bahawa rundingan sedang berjalan antara tiga ADUN Umno dengan pucuk pimpinan PKR.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama mereka tetapi berkata pucuk pimpinan akan membuat kenyataan rasmi mengenainya tidak lama lagi serta mengumumkan nama tiga ADUN Umno yang akan melompat menyertai PKR.

Zulkifly juga mendakwa bahawa 12 ketua Umno bahagian di negeri itu juga tidak puashati dengan senario politik di Perak dan meracang untuk menyertai PKR tidak lama lagi.

Menurutnya, ahli Umno di negeri itu tidak puas hati dengan langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghalalkan pertaruhan sukan dengan meluluskan lesen perjudian sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd milik hartawan Tan Sri Vincent Tan.

Di samping itu, Zulkifly mendakwa, wujud rasa tidak senang di kalangan ahli Umno di Perak kerana keutamaan dikatakan diberikan kepada ahli-ahli PKR yang melompat parti, berbanding dengan ahli Umno sendiri.

Tiada butiran terperinci mengenai terma dan syarat mereka melompat parti. Pemimpin lain PKR di Perak tidak dapat dihubungi untuk mengulas mengenai perkara itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan yang Zambry menafikan dakwaan Zulkifly itu dan menyifatkannya sebagai satu pembohongan.

ADS