Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz hari ini mengesahkan bahawa kerajaan menyediakan pertambahan peruntukan RM500,000 untuk kawasan pilihan raya, tetapi menafikan ia menandakan akan berlaku pilihan raya mengejut.
Ketika ditemui wartawan di Parlimen, beliau berkata, pertambahan peruntukan itu diberikan kerana kerajaan mempunyai lebihan dana.
"Ini kerana kita ada lebihan wang, jadi kita berilah peruntukan," katanya.
Menurutnya, kerajaan tidak menyimpan wang dalam bank untuk mendapatkan faedah, tetapi membelanjakannya.
"Ia tidak masuk ke saku saya, tapi untuk pembangunan rakyat," jelas Nazri.
Berikutan terdapat 222 kawasan parlimen, maka peruntukan tambahan tersebut berjumlah RM111 juta.
Menjawab soalan, Nazri menyangkal dakwaan DAP bahawa tambahan peruntukan itu menandakan akan berlaku pilihan raya mengejut.
"Tidak, kami memberikannya setiap tahun, bukan hanya tahun ini, jadi apakah itu bermakna akan ada pilihan raya mengejut setiap tahun?" soalnya.
