Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

BN belum memutuskan calonnya yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Galas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Perdana menteri berkata, perkara itu telah dibincangkan "tetapi keputusan akan dibuat kemudian".

tengku razaleigh speech 110310 02 Beliau memberitahu pemberita demikian di lobi Parlimen ketika ditanya sama ada Tengku Razaleigh Hamzah (kanan) akan menjadi calon BN di Galas.

Najib juga secara rasminya mengumumkan Tengku Razaleigh, yang juga ahli parlimen Gua Musang,  akan mengetuai jentera pilihan raya BN di Galas.

Sehubungan itu, Najib yang mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh pagi ini berkata, jentera pusat akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Tengku Razaleigh.

Tengku Razaleigh sebelumnya telah bersetuju untuk menjadi pengarah pilihan raya kecil BN di DUN Galas yang akan berlangsung pada 4 November ini.

Galas adalah antara tiga DUN dalam parlimen Gua Musang. Kerusi tersebut kosong selepas kematian ADUN dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September, kerana barah usus.

Allahyarham memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 2008 dengan mengalahkan Mohd Saufi Deraman dari BN, dengan majoriti 646 undi.

Sementara itu, Bernama melaporkan, calon BN bagi Galas akan diumumkan oleh perdana menteri selepas perhimpunan agung Umno minggu depan.

Bagaimanapun, ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata, persoalan mengenai soal calon itu tidak dibincangkan semasa pertemuannya dengan Najib di Parlimen, hari ini.

   

Mengenai kemungkinan beliau dicalonkan, Tengku Razaleigh, yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li berkata perkara itu tidak dibincangkan ataupun mengenai senarai calon bagi pilihan raya kecil itu.

   

Semasa pertemuan itu, Najib yang juga pengerusi BN menyerahkan surat pelantikan kepada Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya bagi DUN Galas.

   

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Tengku Razaleigh juga berkata bahawa BN bukan sahaja berhasrat menawan semula kerusi kawasan itu tetapi berharap dapat memenanginya dengan majoriti besar.

   

Bagaimanapun, jentera pilihan raya BN perlu menilai keadaan di lapangan terlebih dahulu, katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

   

"Dalam setiap pertandingan, ada yang akan menang dan kalah dan kami berharap akan menang," katanya.

   

Ketika ditanya sama ada BN yakin mendapat sokongan majoriti yang besar daripada pengundi, beliau berkata: "Kami perlu turun padang dan lihat".

   

Kerusi kawasan itu kosong berikutan kematian wakil rakyatnya dari PAS, Chek Hashim Sulaima pada 27 Sept. Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Okt dan jika ada pertandingan, pengundian akan diadakan pada 4 November.

ADS