Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Li setuju jadi pengarah pilihan raya BN di Galas
Diterbitkan:  Oct 9, 2010 9:09 AM
Dikemaskini: 4:38 AM

Ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengesahkan menerima pelantikan sebagai pengarah pilihan raya BN bagi dewan undangan negeri Galas.

tengku razaleigh speech 110310 02 Beliau berkata demikian setibanya daripada bercuti di luar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pagi ini.

Menurut Razaleigh beliau menerima tanggungjawab itu sebagai anggota Umno dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang selama hampir 50 tahun, selain anggota Parlimen kawasan berkenaan.

Bagaimanapun pemimpin veteran Umno itu berkata, keputusan sama ada menerima tawaran sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu hanya akan diputuskan Isnin ini apabila mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kita belum mengadakan mesyuaratpun. Kita bincang tadi, mungkin saya akan jumpa Perdana Menteri pada hari Isnin depan.

"Selepas itu, kita akan mengadakan mesyuarat, dan selepas mesyuarat, kita akan mengadakan sidang media, memaklumkan apa yang kita bincangkan dalam mesyuarat itu," katanya.

azlan Pelantikan Razaleigh sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi menghadapi pilihan raya kecil DUN Galas itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akhir bulan lepas, kerana yakin dengan kepimpinan beliau yang amat berpengalaman, berpengaruh serta dihormati pengundi di kawasan itu.

Semalam, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata Ku Li merupakan calon paling layak bertanding di DUN Galas berdasarkan kewibawaan beliau, khususnya di Gua Musang, selain dalam arena politik di peringkat nasional.

azlan Mengenai dakwaan Pas bahawa cadangan menamakan beliau sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu adalah tidak wajar selain merendahkan darjatnya, Ku Li berkata beliau menghormati pandangan parti pembangkang itu.

Tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, ditetapkan pada 4 November ini, manakala tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 26 Oktober ini.

Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 48, dari PAS akibat barah usus pada 27 September lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Chek Hashim mendapat 4,399 undi, menewaskan penyandang dari BN, Mohd Saufi Deraman (3,753 undi) dengan majoriti 646 undi.

Galas terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang yang dimenangi oleh Razaleigh. Selain Galas, DUN Nenggiri dan Paloh juga terletak di bawah parlimen Gua Musang.

.

ADS