Karpal: Pindaan akta gaji hanya untuk 'faedah Zaki'

Ahli politik veteran, Karpal Singh bertegas bahawa pindaan kepada Akta Saraan Hakim 1971 baru-baru ini adalah untuk faedah Ketua Hakim Negara yang akan bersara, Tun Zaki Azmi.

NONEAhli parlimen Bukit Gelugor itu, yang juga pengerusi DAP, berkata beliau telah membangkitkan perkara itu semasa ianya dibahaskan di parlimen dan disokong oleh wakil rakyat pembangkang yang lain.

"Ya, saya membangkitkan isu di Parlimen sebelum pindaan tersebut diluluskan. Bagaimanapun, kita bercakap tentang Parlimen BN... Mereka enggan menimbang tentangan terhadap pindaan tersebut.

"Jelas sekali, undang-undang itu dipinda untuk faedah Zaki. Saya tak tahu sama ada ini adalah apa yang kita panggil 'ganjaran' untuk perkhidmatan beliau kepada Umno," tambah Karpal.

Pindaan kepada Seksyen 9 Akta tersebut, bertajuk Peruntukan Khas untuk Ketua Hakim Negara, Presiden dan Hakim Besar", menyatakan seseorang yang menyandang sama ada jawatan berkenaan atau semua jawatan lain, layak mendapat pencen maksimum jika berkhidmat untuk tempoh dalam agregat tidak kurang daripada tiga tahun.

Sebelum pindaan itu dibuat, Ketua Hakim Negara, atau CJ, mesti menjadi hakim tidak kurang daripada 10 tahun sebelum bersara untuk layak mendapat pencen penuh.

Ahli parlimen Teluk Intan, M Manogaran pula menyifatkan pindaan tersebut sebagai hadiah kepada Zaki yang akan bersara bulan depan.

NONE"Saya masih ingat pembahasan hangat ahli parlimen pembangkang terhadap pindaan tersebut, tetapi ia tetap diluluskan. Itulah sebabnya kita mahu ditubuhkan jawatankuasa terpilih untuk isu-isu seperti ini, dan termasuk badan kehakiman. Ini adalah memalukan," katanya.

Zaki (kanan) yang dikenali sebagai peguam Umno, dilantik terus sebagai hakim mahkamah tertinggi negara - Mahkamah Persekutuan, pada 5 September 2007. Beliau dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan pada 11 Disember 2007 dan dilantik sebagai ketua hakim pada 18 Oktober 2008.

Beliau dijadual bersara bulan depan, apabila beliau mencapai usia 66 tahun.

[Baca berita penuh]
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.