Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Senator PKR, Dr Syed Husin Ali menuntut perdana menteri menjelaskan "rampasan kuasa" yang berlaku dalam Felda sehingga menyebabkan pengarah besar lembaga tanah itu, Datuk Zulkifli Wahab "digantung" dari tugas.

Beliau mendakwa, "rampasan kuasa" itu dijalankan melalui tindakan yang didakwa melanggar akta koperasi dalam satu mesyuarat lembaga Felda.

"Sepatutnya Zulkifli mesti pengerusikan mesyuarat, dan waktu itu dia tak ada, diadakan juga mesyuarat tanpa dia," kata Syed Husin dalam satu sidang media di bangunan parlimen hari ini.

Mesyuarat pada 25 Ogos itu, yang melantik Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi Koperasi Permodalan Felda Berhad, dijalankan ketika Zulkifli sedang melakukan ibadah umrah.

"Semua ini berlaku di belakang (Zulkifli)," kata Syed Husin yang mengesyaki bahawa perkembangan itu berkait dengan rancangan untuk menyenaraikan salah satu anak syarikat Felda, Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia.

Ketika ditanya, Syed Husin berkata beliau curiga memandangkan Zulkifli diarahkan untuk mengambil cuti belajar sedangkan FGVH telahpun dirancang untuk disenaraikan pada pertengahan tahun depan.

"Difahamkan tujuan perubahan ini ialah untuk memungkinkan Tan Sri Isa Samad mengambil tindakan meluluskan pelepasan pegangan ekuiti Koperasi Permodalan Felda dalam Felda Holdings," katanya.

Beliau mendakwa, perubahan struktur itu juga akan membolehkan Isa merombak struktur pengurusan dan ahli lembaga pengarah, mengetuai jawatankuasa pelaburan dan juga mengubah dasar yang menjaga kepentingan ahli koperasi.

"Ia juga untuk menutup mata kakitangan Felda yang menjadi ahli Koperasi Permodalan Felda daripada mengetahui bahawa mereka bakal kehilangan majoriti 55 peratus dalam saham Felda Holdings," katanya lagi.

Tambahnya, penyenaraian FGVH akan menyebabkan penguasaan saham koperasi berkenaan menyusut kepada 30 peratus, sementara bakinya ditawarkan kepada pelabur luar.

"Mengikut maklumat, perubahan struktur ini dirancang oleh ketua eksekutif Felda, Datuk Sabri Ahmad," dakwa Syed Husin lagi.

Sabri sebelum ini merupakan bekas pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan juga ketua pengarah eksekutif kumpulan kepada satu lagi gergasi perladangan Malaysia, Golden Hope Plantations Berhad.

Sabri meletak jawatan daripada Golden Hope pada 2008 selepas satu siasatan dijalankan ke atas kerugian berjumlah RM120 juta yang dialami satu anak syarikat berkenaan, Golden Jomalina Food Industries.

Bagaimanapun pada Julai tahun lalu Sabri dilantik sebagai ketua pengarah eksekutif di Felda Holding dan juga FGVH.

Prestasi FGVH dipertikai banyak pihak kerana syarikat itu didakwa mencatat kerugian sehingga RM500 juta sepanjang 2007 hingga 2010 atas aktiviti pelaburan seberang lautnya.

Mengulas lanjut, Syed Husin turut mempertikaikan keuntungan yang bakal diperolehi golongan peneroka daripada penyenaraian FGVH.

Katanya, bayaran "durian runtuh" yang dijanjikan perdana menteri selepas penyenaraian itu dijalankan, hanya akan dibuat sekali sahaja.

Golongan berkenaan sebaliknya akan menanggung lebih banyak kerugian menerusi penyenaraian kerana Felda akan memajakkan tanah seluas 350,000 hektar yang diusahakan peneroka berkenaan kepada FGVH, kata Syed Husin.

"Felda akan kehilangan pendapatan antara RM1.5 bilion hingga RM2 bilion setahun yang seharusnya boleh diguna untuk kebajikan peneroka... Ini tidak akan menolong golongan peneroka Felda.

"Jadi nak menutup segala ini, perubahan dalam struktur diadakan ketika ketua pengarah dia melakukan umrah. Bila balik dia timbulkan perkara ini dan sekarang disuruh pergi cuti belajar," kata Syed Husin lagi.

ADS