Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ADUN: Cabutan bertuah BMW tunjukkan kegilaan
Diterbitkan:  May 24, 2012 1:12 PM
Dikemaskini: 5:24 AM

Tindakan kumpulan peniaga anti-BERSIH menawarkan cabutan bertuah yang menawarkan dua buah kereta mewah kepada penggemar laman Facebook mereka disifatkan menunjukkan "kegilaan dan kerencatan akal" kumpulan itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku Lau Weng San berkata, tindakan itu menggambarkan dakwaan peniaga mengalami kerugian ekoran perhimpunan BERSIH pada 28 April lalu rekaan semata-mata.

NONE Wakil rakyat DAP itu berkata, tawaran cabutan bertuah kereta BMW dan Lamborghini itu akan menyebabkan mereka kerugian RM1.445 juta, tidak termasuk potongan harga di restoran milik pemimpinnya Datuk Jamal Md Yunus.

"Jadi, adakah kerugian ini lebih ringan atau lebih teruk daripada "kerugian" yang ditanggungnya pada hari perhimpunan BERSIH 3.0?" soal Lau.

"Sudah pasti kerugian berpunca daripada pemberian kereta-kereta mewah dan potongan-potongan harga jauh melebihi kerugian yang ditanggung oleh mana-mana peniaga (semasa perhimpunan BERSIH)."

Majlis Bertindak Peniaga-peniaga Kuala Lumpur (MBPKL) yang mahu berniaga depan rumah Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga mulai semalam menawarkan BMW 530 bernilai RM225,000 apabila jumlah peminat Facebok mereka mencecah 150,000 orang.

Menurut Jamal, sekiranya jumlah peminat Facebook bernama "BERSIH 4.0" itu mencecah satu juta orang, Lamborghini Gallardo bernilai RM1.2 juta akan ditawarkan dalam cabutan bertuah.

Dalam kenyataannya hari ini, Lau berkata, jelas tindakan itu hanya gimik politik untuk mengalih perhatian orang ramai daripada menghadapi isu ketidakadilan dalam sistem pilihan raya.

"Nasihat saya kepada Jamal Md Yunus, jikalau beliau benar-benar berminat untuk membantu peniaga-peniaga kecil di Kuala Lumpur, maka gunakan wang yang beliau ada dan pendapatan daripada kedua-dua buah kenderaan ini untuk memberi bantuan kepada para peniaga...," katanya.

ADS