Nasib Khairy di tangan Pemuda bahagian
Walaupun ada beberapa Pemuda Umno negeri mencadangkan supaya menantu Perdana Menteri Khairy Jamaluddin dicalonkan mengisi jawatan naib ketua Pemuda, tetapi keputusan muktamadnya terletak di tangan Pemuda bahagian.
Walaupun ada beberapa Pemuda Umno negeri mencadangkan supaya menantu Perdana Menteri Khairy Jamaluddin dicalonkan mengisi jawatan naib ketua Pemuda, tetapi keputusan muktamadnya terletak di tangan Pemuda bahagian.
Ketika menegaskan demikian Ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Hishammuddin Hussein berkata Pemuda bahagianlah yang akan membuat pencalonan apabila bermesyuarat bulan depan mengenai siapakah pilihan mereka.
Ditanya mengenai adanya usaha-usaha untuk menggandingkan beliau dengan Khairy untuk menerajui pergerakan itu, beliau berkata: "Itu cuma merupakan cadangan badan perhubungan Pemuda Umno negeri, tetapi kata putusnya akan dibuat oleh perwakilan di bahagian."
Hishammuddin juga ditanya mengapa Pemuda Umno Perak dan Kelantan masih mencalonkan Khairy untuk jawatan naib ketua Pemuda, walaupun Khairy telah berkata baru-baru ini yang beliau tidak berminat bertanding sebarang jawatan parti.
Menurut Hishammuddin soalan itu perlu diajukan kepada Khairy sendiri sama ada beliau berminat untuk menerima pencalonan untuk bertanding jawatan itu atau sebaliknya.
Khairy membisu
Sebelum ini, empat exco Pemuda, termasuk ketua penerangannya, Datuk Azimi Daim, telah menyatakan mereka akan "memadamkan" hasrat bertanding jika Khairy menerima pencalonan tersebut.
Setakat ini, Khairy masih membisu sama ada beliau akan menimbang semula keputusan awalnya untuk tidak bertanding sebarang jawatan parti dan menerima pencalonan jawatan naib ketua Pemuda itu.
Sementara itu, Hishammuddin ketika ditanya sama ada beliau akan mengubah pendirian sekiranya mendapatkan banyak pencalonan untuk bertanding jawatan naib presiden, berkata: "Saya tetap dengan keputusan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda...dan saya telahpun menyatakan sebab-sebabnya..."
Sebelum itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran, telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil daripada syarikat kawalan keselamatan yang ditugaskan menjaga keselamatan pelajar di sekolah-sekolah di seluruh negara.
Dalam kenyataannya mengenai perkara itu, beliau berkata,Kementerian Pelajaran telah membelanjakan RM710 juta untuk memastikan keselamatan pelajar di 5,567 sekolah tetapi khidmat yang diberikan oleh syarikat-syarikat yang dilantik amat mengecewakan.
Pengawal mabuk
Menurut beliau kontrak kawalan keselamatan di sekolah telah ditawarkan kepada 107 syarikat dengan setiap satunya mendapat dua hingga empat kontrak di beberapa zon.
"Dalam lawatan mengejut saya ke sekolah-sekolah di kawasan saya sendiri di (Parlimen) Sembrong, saya dapati pengawal keselamatan di sekolah itu berada dalam keadaan mabuk," katanya.
"Selain itu,saya juga menerima laporan mengenai kehilangan komputer notebook, peralatan sukan dan sebagainya berikutan kejadian pecah masuk ke sekolah.
"Terbaru adalah kejadian di mana seorang pelajar perempuan dipukul dan dicederakan dengan pisau lipat oleh orang luar di dalam kawasan sekolah," tambahnya.
Di samping itu, katanya, kejadian buli dan ancaman dari beberapa kumpulan gangster dari luar membuat beliau berpendapat perlunya memastikan tahap keselamatan di sekolahdi pertingkatkan lagi.
"Dalam perjumpaan saya dengan kontraktor-kontraktor kawalan keselamatan hari ini, saya telah mengingatkan mereka supaya memastikan semua pengawal keselamatan yang dilantik tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
"Sekiranya dapat, dipastikan dari peringkat awal lagi, mereka tidak mempunyai sebarang masalah psikologi, sifat, tabiat atau kecenderungan yang boleh menyebabkan mereka melakukan jenayah," tambahnya.
Menurut Hishammuddin, beliau komited untuk memastikan persekitaran sekolah di bawah jagaan kementeriannya selamat agar "anak-anak kita dapat belajar dengan tenang, tanpa sebarang rasa takut dan risau tentang keselamatan mereka.
"Saya mahu memastikan ibu bapa pelajar tidak takut-takut dan was-was untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
"Kehilangan peralatan mengajar boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran pelajar," katanya.
Oleh itu, katanya, bukan sahaja insiden seperti ini membazirkan wang rakyat, malah ia akan menjejaskan matlamat negara untuk memastikan pendidikan terbaik anak bangsa.
Memperkemaskan kontrak
Sehubungan itu, katanya, kementerian tidak mahu mengambil sebarang risiko dan sedang mempertimbangkan untuk memperkemaskan lagi syarat-syarat kontrak sehingga memboleh kerajaan memotong bayaran yang perlu dibuat atau bon pelaksanaan mengikut nilai barang yang hilang.
Selain, kataya,. kementerian juga mengkaji semula sistem pengzonan sekolah atau mungkinjuga sehingga menyenaraihitamkan syarikat atau ahli-pahli lembaga pengarah dari senarai kementerian.
"Semua ini masih di peringkat cadangan dan perjumpaan ini adalah untuk mendengar sendiri sebarang pandangan dan cadangan dari syarikat-syarikat kawalan keselamatan," katanya.
Sehubungan itu, katanya, kementerian akan terus memantau dan membuat lawatan mengejut ke sekolah-sekolah bagi memastikan semua syarikat keselamatan mengotakan janji-janji mereka.
"Walaupun sehingga hari ini masih belum ada sebarang tindakan menamat kontrak diambil oleh Kementerian Pelajaran terhadap mana-mana syarikat, tetapi keadaan akan berbeza mulai hari ini," tegasnya.

