Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Polis, SPRM tak siasat skandal 'copgate'
Diterbitkan:  Sep 27, 2012 11:26 AM
Dikemaskini: 9:52 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata polis tidak menjalankan apa-apa siasatan ke atas dakwaan mengenai hubungan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dengan tokoh kongsi gelap Goh Cheng Poh dan BK Tan.

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga tidak membuat sebarang siasatan ke atas dakwaan tersebut dengan alasan sama – tiada sebarang aduan diterima.

NONE Tambahnya, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Mac 2012 menolak penubuhan jawatankuasa siasatan kerana "tiada bukti kukuh dapat dikemukakan".

"Setakat ini juga, tiada sebarang laporan polis diterima mengenai pendedahan yang telah dibuat oleh bekas pegawai kanan polis Datuk Ramli Yusuff berkenaan hubungan bekas ketua polis negara dengan tokoh kongsi gelap Goh Cheng Poh dan BK Tan semasa beliau masih berkhidmat dalam PDRM.

"Bagaimanapun, sekiranya terdapat sebarang laporan atau aduan dibuat, pihak agensi penguatkuasaan undang-undang akan menjalankan siasatan yang sewajarnya mengikut peruntukan dan kuasa undang-undang yang diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada MP Segambut Lim Lip Eng berhubung dakwaan skandal yang popular dengan jolokan 'copgate' itu.

NONE Malaysiakini sebelum ini melaporkan, pemberi maklumat polis mendakwa dipaksa untuk membabitkan enam pegawai polis yang menyiasat kes tersebut - salah seorang daripada mereka adalah Ramli (kiri) .

Pegawai berkenaan didakwa memalsukan bukti pada 2007, namun kemudiannya dibebaskan daripada tuduhan pada pertengahan 2011.

Ramli pada 29 Februari lalu mendakwa, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Musa dan 'Tengku Goh' bersekongkol di sebalik tindakan tersebut.

Malaysiakini pada 2007 menyiarkan laporan khas berhubung skandal berkenaan, yang menunjukkan rentetan peristiwa dan tokoh penting yang didakwa terlibat.

Musa Hassan pada Mac lalu menafikan dakwaan beliau melindungi tokoh kongsi gelap atau berkonspirasi dengan Abdul Gani untuk menganiaya Ramli. 

ADS