Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli berkata beliau akan memohon kepada pihak berkuasa anti-rasuah Hong Kong supaya membuka semula siasatan terhadap dakwaan rasuah melibatkan "sumbangan politik" RM40 juta – didakwa melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan ahli perniagaan Michael Chia.

Rafizi berkata, beliau juga akan memohon kepada Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) itu supaya membuka siasatan baru terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berhubung isu sama.

Beliau mendakwa, Nazri turut terlibat dalam kes tersebut berdasarkan kenyataan menteri itu sebelum ini, dan juga laporan yang mengaitkan anak lelaki menteri berkenaan dengan Chia.

Rafizi berkata, permohonan bagi siasatan baru terhadap Nazri adalah berdasarkan kenyataan menteri hal ehwal undang-undang itu di Parlimen sebelum ini yang didakwanya "merosakkan nama ICAC bagi membersihkan nama Musa dan Micheal".

Bercakap dalam satu sidang media hari ini, Rafizi berkata, kunjungan itu juga bagi mengumpul maklumat lanjut dan menyampaikan perkembangan terkini kepada pihak berkuasa berkepentingan di Hong Kong mengenai dakwaan kes rasuah RM40 juta itu.

"(Kami) memohon untuk membuka semula siasatan terhadap dakwaan rasuah RM40 juta dan (dakwaan) pengubahan wang haram oleh Musa Aman, dan Micheal Chia," katanya pada sidang media di ibu pejabat Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Negara (NOW) hari ini.

Katanya, beliau ingin bertanya kepada ICAC sama ada badan tersebut terpaksa menutup kes berkenaan kerana tidak mendapat kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Badan Pencegah Rasuah pada masa itu).

Rafizi menjelaskan kepada Malaysiakini bahawa ICAC tidak menyatakan apa-apa perkara yang selari dengan kenyataan Nazri berhubung kes berkenaan, namun menteri undang-undang itu tetap mengeluarkan pelbagai kenyataan berhubung isu tersebut.

Jelasnya, permohonan berkenaan dibuat berdasarkan kenyataan kenyataan Nazri pada 11 Oktober lalu bahawa kertas siasatan SPRM menunjukkan wang berjumlah RM40 juta itu merupakan sumbangan kepada Umno negeri dan bukannya kepada Musa.

Dalam satu jawapan bertulis kepada anggota Parlimen Batu Tian Chua di Parlimen, Nazri juga berkata Jabatan Peguam Negara meneliti keterangan yang dikemukakan SPRM dan memutuskan elemen rasuah tidak dibuktikan dalam kes tersebut.

Nazri turut menyatakan bahawa dana berkenaan merupakan sumbangan kepada Badan Perhubungan Umno Sabah dan bukannya untuk tujuan persendirian ketua menteri.

Seterusnya, menurut Nazri, ICAC tidak mengambil tindakan lanjut berdasarkan keputusan siasatan SPRM itu.

Permohonan kerjasama ICAC untuk menyiasat perkara jenayah berhubung akaun bank di Switzerland juga ditarik balik atas alasan sama, kata Nazri lagi.

Selain Nazri, turut mengulas isu berkenaanialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 12 Oktober yang berkata, wang RM40 juta yang cuba diseludup itu adalah "sumbangan politik" untuk Umno Sabah.

Bagaimanapun presiden Umno itu enggan mendedahkan pihak yang menyumbangkan wang tersebut.

Menurut Rafizi berkata, beliau akan berangkat ke Hong Kong esok dan seterusnya membuat permohonan kepada ICAC pada pagi Khamis.

Katanya, beliau akan mengemukakan bukti termasuk laporan media berhubung kenyataan pemimpin BN tersebut berhubung dakwaan berkenaan kepada ICAC.

Jelasnya, beliau telah mengedarkan bahan tersebut kepada media dan ahli politik di Hong Kong untuk disebarkan.

ADS