Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu RM40j: PKR buat laporan SPRM terhadap Musa, Nazri

Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli hari ini membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu wang RM40 juta yang didakwa melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

Rafizi berkata, laporan SPRM dibuat terhadap Musa dan Nazri kerana didakwa disebabkan hubungkait yang ada antara mereka tentang isu wang RM40 juta yang dibawa oleh ahli perniagaan, Michael Chia.

NONE "Jadi satu laporan SPRM dibuat dan saya minta SPRM buka satu fail untuk siasat kes RM40 juta terhadap Musa Aman dan Michael Chia, dan juga Nazri dan anaknya.

"Nazri tak menafikan dan mengatakan anaknya tak ada kaitan dengan dia.

"Berdasarkan Akta SPRM, ada asas untuk mereka mulakan siasatan," katanya dalam sidang media sebelum masuk ke bangunan SPRM di Putrajaya hari ini.

Selain itu, Rafizi turut meminta agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Nazri mengambil cuti daripada kabinet sementara siasatan dijalankan.

Katanya, ini kerana Nazri merupakan menteri yang bertanggungjawab terhadap badan tersebut.

Menurut Rafizi lagi, beliau bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan dan akan memberi kerjasama kepada pihak SPRM.

"Saya bersedia berhadapan dengan apa jua kemungkinan terhadap isu RM40 juta ini.

"SPRM bertanggungjawab untuk menyelesaikan persoalan itu. Saya juga sedia untuk memberi bukti-bukti dan kerjasama kepada mereka" katanya.

Menurut Rafizi, pada minggu depan beliau akan ke Hong Kong untuk menemui beberapa pihak di sana bagi meneruskan "penyiasatan" berhubung isu RM40 juta.

"Kita masih bercakap dengan pihak-pihak tertentu. Saya tak mahu sebut nama sebab ini kes berprofil tinggi.

"Kalau sebut, saya bimbang kedutaan berkaitan kerajaan mula hubungi mereka dan ini akan rumitkan keadaan. Saya akan umum bila dah muktamad," katanya lagi.

ADS