Zahid jawab dakwaan Deepak esok

Menteri pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan menjawab isu berhubung dakwaan ahli perniagaan Deepak Jaikishan terhadap keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan penangguhan di perhimpunan agung Umno esok.

"Esok saya akan jawab dalam ucapan penangguhan," jawab Ahmad Zahid ringkas ketika ditanya Malaysiakini mengenai perkara itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan yang akan diambil oleh kementerian pertahanan berhubung beberapa dakwaan yang dibuat Deepak sebelum ini.

Deepak sebelum ini mendakwa membayar keluarga Datuk Seri Najib Abdul Razak sejumlah wang yang tidak didedahkan untuk campurtangan perdana menteri bagi membolehkannya menjadi satu pihak dalam satu perjanjian projek Kementerian Pertahanan.

Selain itu, beliau juga mendakwa akuan berkanun (SD) kedua oleh penyiasat persendirian P Balasubramaniam untuk menarik balik tuduhan awalnya – yang mengaitkan Najib dengan Altantuya Shaariibuu – adalah sebahagian daripada usaha untuk menggagalkan satu pengakuan yang dirancang berhubung pembunuhan wanita Mongolia itu.

Dalam satu wawancara dengan Malaysiakini, Deepak mendakwa penglibatannya dalam SD kedua Balasubramaniam adalah atas permintaan seorang "kawan wanita" yang didakwanya mempunyai hubungan dengan satu pihak yang mungkin akan terjejas jika pengakuan bersumpah pertama itu tidak digugurkan.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pula diberitahu bahawa Najib ketika menjadi menteri pertahanan pada 2006 bersetuju untuk memindahkan pemilikan tanah seluas 223.3 ekar (89.332ha) di Bukit Raja, Selangor daripada syarikat Awan Megah Sdn Bhd kepada syarikat penama milik Deepak.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.