Panel SPRM: Cecil Abraham tak terlibat keputusan henti siasatan

Panel Penilaian Operasi (PPO), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menjelaskan bahawa peguam kanan Tan Sri Cecil Abrahim, yang didakwa dikaitkan dengan  akuan bersumpah (SD) kedua P Balasubramaniam, tidak terbabit dalam keputusan panel itu untuk menghentikan penyiasatan terhadap bekas penyiasat persendirian itu.

NONE"PPO ingin menyatakan bahawa salah seorang ahli Panel, Tan Sri Datuk Cecil Abraham tidak hadir dan tidak terlibat di dalam mesyuarat tersebut," kata pengerusi panel itu, Tan Sri Datuk Dr. Hadenan Abdul Jalil dalam satu kenyataan.

Katanya, kes yang berkaitan dengan SD kedua Balasubramaniam itu telah dibentangkan dalam pra-mesyuarat panel tersebut pada 8 November 2012.

"PPO telah bersetuju dengan keputusan Timbalan Pendakwa Raya untuk menghentikan siasatan kes tersebut atas sebab keterangan saksi-saksi utama yang tidak disokong oleh mana-mana saksi yang lain dan saksi-saksi utama juga merupakan saksi yang boleh dipertikaikan kredibilitinya," tambahnya.

Sejak minggu lalu, Malaysiakini telah berusaha untuk menghubungi Cecil, yang merupakan rakan kongsi kanan firma guaman Zul Rafique and Partners, melalui telefon, faksimili dan emel, tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas.

Hadenan (kanan) menjelaskan demikian berhubung artikel yang disiarkan oleh media dalam talian berkaitan dengan siasatan SPRM terhadap SD kedua Balasubramaniam.

Isu itu timbul bulan lepas apabila Deepak Jaikishan, yang telah mendakwa secara peribadi terlibat dalam 'mengubah' Balasubramaniam, telah membuat satu siri pendedahan yang menggemparkan, termasuk dakwaan bahawa dua peguam - peguam kanan dan anaknya - terlibat dalam merangka SD kedua itu.

Dalam SD pertama, Balasubramaniam mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu yang telah dibunuh oleh dua anggota polis pada tahun 2006, tetapi dia menandatangani SD kedua pada hari berikutnya untuk menafikan penglibatan Najib.

Dalam wawancara dengan organ PAS, Harakah minggu lepas, Deepak menceritakan bagaimana peguam kanan itu merangka dan menyediakan dokumen itu bersama-sama dengan anaknya, walaupun hanya anaknya datang bertemu dengan pihak-pihak lain yang terlibat di sebuah hotel di Kuala Lumpur, di mana Balasubramaniam didakwa "disimpan".

Nama peguam kononnya disebut oleh Deepak dalam wawancara itu yang telah disiarkan di YouTube, telah disunting.

Dalam kenyataannya hari ini, Hadenan berkata PPO adalah mekanisma 'check and balance' di dalam SPRM di mana semua hasil siasatan yang dilakukan oleh SPRM akan dibentangkan untuk pandangan ahli-ahli Panel. PPO mula beroperasi sejajar dengan penubuhan SPRM pada tahun 2009.

"Keahlian PPO adalah terdiri daripada kalangan mereka yang mempunyai kepakaran dan mewakili badan-badan profesional yang membuat keputusan tanpa campurtangan mana-mana pihak.

"Oleh itu, sebarang kenyataan yang meragui ketelusan dan kebebasan PPO adalah amat dikesali," katanya sambil menambah adalah menjadi amalan SPRM untuk membuka semula sebarang siasatan sekiranya terdapat keterangan baru dan relevan.

Bagaimanapun, kenyataan Hadenan itu tidak menyebut sama ada Cecil terlibat dalam SD kedua Balasubramaniam.

[Baca berita penuh]


1. Americk: Cecil is a lawyer of the highest integrity...

2. Mystery lawyer in Bala's SD2 urged to reveal self to Bar

 

 Americk: Cecil is a lawyer of the highest integrity...

Bala's original statutory declaration

Bala's second statutory declaration

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.