Jakim: Tindakan pada Hadi jika pertahan 'amanat'

Ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Othman Mustapha berkata tindakan boleh diambil ke atas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekiranya presiden PAS itu tetap mahu mempertahankan satu amanat kontroversi pada 1981 yang didakwa mengkafirkan Umno.

Menurut laporan Berita Harian hari ini, Othman berkata jabatan itu bagaimanapun akan memanggil Abdul Hadi terlebih dahulu dan mahu presiden parti tersebut menarik balik amanat berkenaan.

"Kesan amanat itu besar, mereka lepaskan kepada masyarakat dan tidak cuba memperbetulkan semula, tuduh orang Islam lain tidak boleh kawan, kafir.

"Kalau kita lihat, di negara Arab mereka berpecah-pecah soal mazhab, kita di sini soal amanat... sebenarnya mengkafirkan orang (Islam) lain itu lebih parah," katanya.

Beliau turut mengakui bahawa tindakan telah dijalankan ke atas isu berkenaan sebelum ini dan mendakwa jabatan itu mempunyai bukti berhubung elemen mengkafir itu.

"Benda ini (amanat) pun sudah lama, tindakan pun sudah diambil, tapi timbul balik... Mengikut rekod kami yang dikumpul sejak amanat itu diucapkan, elemen mengkafir itu jelas ada.

"Kami ada bukti dan simpan semua termasuk rakaman ceramah mereka. Kesan apa yang mereka ucapkan itu juga berlaku termasuk dalam majlis perkahwinan, kenduri kendara, makan sembelihan orang Umno tak boleh," katanya.

MP Shah Alam Khalid Samad pada hujung minggu lalu menjelaskan bahawa petikan ucapan Abdul Hadi Awang yang dinamakan sebagai 'Amanat Haji Hadi' tidak pernah sama sekali mengkafirkan mana-mana ahli Umno.

Sebaliknya, Khalid berkata, dakwaan bahawa Hadi mengkafirkan orang Umno menerusi amanat itu adalah "putar-belit media Umno" semata-mata.

"Ia (amanat itu) sebenarnya petikan ucapan Ustaz Hadi yang dinamakan 'amanat' oleh orang yang menyokong PAS dan dijual sebagai poster oleh penyokong atau ahli PAS," kata Khalid.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.