Mat Sabu: Pengurusan benar guna Stadium Merdeka

Penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat hari ini mengumumkan bahawa pengurusan Stadium Merdeka membenarkan mereka menggunakan tempat bersejarah berkenaan bagi perhimpunan 12 Januari.

Pengerusi penganjur himpunan itu Mohamad Sabu berkata pihaknya menerima surat keizinan bagi menggunakan stadium pada kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Dalam surat berkenaan, pihak stadium juga menetapkan syarat agar penganjur membayar RM75,000 sebagai wang pendahuluan untuk menggunakan stadium berkenaan, katanya.

"Kita akan tunaikan," kata timbalan presiden PAS yang menambah, pihaknya akan menghantar delegasi untuk berbincang dengan pengurusan stadium mengenai aspek keselamatan dan persiapan perhimpunan tersebut.

"Kita akan menghantar jawatankuasa untuk berunding dengan pengurusan stadium mengenai apa yang boleh dan apa yang tidak boleh (dilakukan), yang dikenakan oleh pihak stadium," katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Stadium Merdeka.

Dalam sidang media hari ini, Mohamad berkata seramai 5,000 orang anggota unit amal akan dikerahkan untuk menjaga keselamatan sepanjang perhimpunan berkenaan.

Sementara itu, naib presiden PKR Tian Chua pula berkata, penganjur juga akan membincangkan dengan pihak stadium mengenai kapasiti hadirin bagi perhimpunan tersebut.

Pakatan Rakyat Selangor pada hari Isnin lalu dilaporkan akan membawa seramai 300,000 orang terdiri daripada aktivis dan penyokong parti bagi menjadikan jumlah keseluruhan peserta seramai 1 juta orang.

Satu laporan Sin Chew Daily hari ini bagaimanapun menyatakan bahawa pengurusan stadium menetapkan bahwa jumlah peserta tidak boleh melebihi jumlah 30,000 – yang merupakan kapasiti maksimum stadium berkenaan.

Laporan itu menyebut, syarat berkenaan bagi memastikan struktur stadium berkenaan, yang dikategorikan sebagai bangunan warisan, akan terpelihara.

Ketika dihubungi lewat petang ini, Mohamad Sabu berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu dan akan membincangkannya dengan pengurusan stadium, esok.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.