Md Zin serah isu iklan BN pada presiden KTMB

Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Datuk Seri Mohd Zin berkata soalan berhubung iklan BN yang dikesan dipasang dalam tren komuter sepatut diajukan kepada presidennya, Datuk Elias Kadir.

"Soalan itu awak tanya kepada presiden," kata  ringkas dalam sidang media di bangunan Umno di Shah Alam hari ini.

NONE"Saya minta maaf tak dapat jawab soalan awak. Itu awak tanya pada presiden," kata Mohd Zin lagi selepas sidang media tamat.

Mohd Zin yang juga koordinator BN Selangor diminta menjelaskan demikian memandangkan Elias masih belum memberi penjelasan mengenai isu berkenaan.

Malaysiakini sebelum ini telah menghantar SMS dan juga emel bagi meminta penjelasan tersebut, selepas diminta berbuat demikian oleh Elias.

Malaysiakini antara lainnya meminta Elias menjelaskan sama ada BN membuat bayaran untuk siaran iklan visual tersebut dalam koc komuternya.

Pada awal bulan ini, Malaysiakini melaporkan  terdapat paparan video iklan "Yakini BN" di dalam tren komuter.

Iklan selama kira-kira tiga minit yang memaparkan visual pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama kelompok masyarakat, merupakan kontroversi selepas pemasangan bendera BN dan iklan yang mensasarkan masyarakat Selangor di stesen perhentian dan gerabak sistem pengangkutan awam tersebut.

NONESementara itu, pada sidang media sama, Mohd Zin turut memberitahu, BN Selangor akan berkerja kuat bagi menawan semula negeri itu dan menyelesaikan masalah yang ada terutamanya isu gangguan bekalan air.

Beliau juga berkata, disebabkan kedegilan kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim antara punca masalah air tidak dapat diselesaikan sehingga hari ini.

Mohd Zin mendakwa kedegilan Abdul Khalid ialah beliau enggan membantu Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), antaranya enggan memberikan bantuan perbelanjaan modal (Capex).

"Kalau tak beri Capex macam mana SYABAS nak beri servis. Kalau nak turunkan kadar air tidak berhasil (NRW) perlukan perbelanjaan modal. Kalau dah beku, apa logiknya?

"Kerajaan negeri ini degil. Lebih baik kita kerja kuat untuk ambil alih balik negeri ini, lebih mudah," katanya lagi.  

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.