Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Iklan 'Sayangi BN' dikesan dalam koc komuter
Diterbitkan:  Jan 2, 2013 12:02 PM
Dikemaskini: 12:20 PM

Selepas kontroversi pemasangan bendera BN dan iklan yang mensasarkan masyarakat Selangor di stesen perhentian dan gerabak KTM Komuter, kini muncul pula iklan "Sayangi BN" di dalam sistem pengangkutan awam tersebut.

NONE Tinjauan Malaysiakini pada hari Isnin lalu mendapati, paparan video iklan sepanjang kira-kira tiga minit itu menonjolkan visual pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama kelompok masyarakat.

Iklan berkenaan turut menonjolkan logo BN dan slogan "Dikau menjamin harapan", "Yakini BN - Sayangi Selangor" dan "Sekian lama aman sejahtera".

NONE Satu sumber di KTMB menyebut, iklan tersebut hanya dipasang di dalam unit set komuter yang baru dari jenis SCS (Six-Car-Set) di sekitar Lembah Klang.

Sumber di KTMB yang tidak ingin namanya dinyatakan itu berkata, iklan tersebut mula dipasang di dalam koc berkenaan pada 29 Disember lalu.

Tarikh berkenaan merupakan hari pertama Karnival Sayangi Selangor anjuran BN negeri, yang berakhir pada hari Isnin lalu.

NONE Sumber berkenaan bagaimanapun tidak dapat menjelaskan tempoh tayangan iklan dalam koc komuter berkenaan, dan sama ada ia merupakan iklan berbayar.

April tahun lalu, KTMB menafikan mengeluarkan sebarang arahan berhubung pemasangan bendera BN di beberapa stesen komuter di Selangor.

Beberapa bulan selepas itu, iklan "Sayangi Selangor" pula muncul di badan gerabak dan di stesen KTM Komuter, tanpa memaparkan logo BN.

NONE Kempen berkenaan antaranya lainnya menonjolkan Najib dengan slogan "Kami mendengar masalah anda tentang kos sara hidup" dan "Kami mendengar dan memahami keperluan anda tentang pendidikan".

Pengerusi KTMB, yang juga penyelaras BN Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed ketika diminta menjelaskan isu berkenaan pada Julai tahun lalu sekadar berkata ia merupakan iklan berbayar .

Malaysiakini sedang menunggu maklum balas presiden KTMB Datuk Elias Kadir, yang bertegas supaya soalan dikemukakan kepadanya melalui emel, untuk memberi penjelasan mengenai kempen terbaru BN di dalam koc komuter tersebut.

ADS