Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahmad Maslan: ANAK cuba masuk Felda sebelum masa kempen

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dihalang daripada mengadakan program di dalam kawasan rancangan Felda kerana tempoh kempen pilihan raya belum bermula.

NONE "(Sekarang) belum tiba masa kempen sedangkan mereka cuba menimbulkan perkara-perkara yang memecahkan dalam masyarakat itu," katanya ketika ditanya pemberita dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, Felda berkuasa untuk menghalang pihak tertentu daripada memasuki kawasan tanah rancangan berkenaan mengikut peruntukan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok).

"Apabila tiba masa kempen, semua orang boleh masuk berkempen (ke kawasa Felda).

"Sebagai contoh, untuk pilihan raya kecil Tenang, untuk kawasan Felda tak ada yang kita tak benarkan untuk berkempen," katanya.

Beliau seterusnya mengambil peluang untuk menyelar pengerusi ANAK, Mazlan Aliman yang didakwanya sering mengeluarkan kenyataan tidak benar tentang Felda.

NONE "Mazlan Aliman ini dia pemfitnah bersiri. Ada perogol bersiri, pembunuh bersiri, ada peliwat bersiri, tetapi Mazlan Aliman ini pemfitnah bersiri.

"Sebelum ini dia fitnah saham FGV (Felda Global Venture) dimiliki 12 peratus atau RM400 juta oleh Genting. Itu tidak benar.

"Kemudian baru-baru ini dia fitnah Bunge Pte Ltd itu syarikat Yahudi yang ada kaitan hubung dagang dengan Felda.

"Itu tak betul. Sekarang ini kita dah saman dah, dah fail saman," katanya.

Beliau ditanya mengenai rancangan ANAK untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bagi membatalkan sekatan Felda ke atas ceramah anjuran Pakatan Rakyat di tanah Felda.

Peguam ANAK Mohd Harris Abdullah berkata pihaknya akan memohon supaya mahkamah memutuskan bahawa sekatan melalui penguatkuasaan Seksyen 34 Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 itu tidak sah.

Menurutnyq, peruntukan itu bercanggah dengan peruntukan dalam perlembagaan yang membenarkan rakyat bergerak bebas dan bermastautin di mana-mana kawasan dalam Persekutuan.

Tambah Harris, satu surat yang dikeluarkan pejabat Felda Jengka 12 dan diterima ketua PAS kawasan cawangan itu.

Surat bertarikh 11 Januari itu, menyatakan bahawa pihak berkuasa Felda dan Jawatankuasa Perunding Peneroka memutuskan untuk "tidak membenarkan sebarang ceramah atau provokasi yang melibatkan politik diadakan di kawasan Felda Jengka 12 sebelum pembubaran parlimen dilakukan."

ADS