DAP mahu KP JASA dipecat kerana kempen untuk BN

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Fuad Hassan sepatutnya dipecat daripada jawatan kerajaan kerana didakwanya menggunakan jabatan tersebut untuk berkempen demi kemenangan Umno dan BN.

"Ini merupakan penyalagunaan dana awam dan kemudahan kerajaan – penyelewengan yang dilakukan dengan semakin terang-terangan dan berleluasa selepas 55 tahun pemerintahan Umno dan BN," kata MP Ipoh Timur itu dalam satu kenyataan hari ini.

NONEBeliau juga menggesa Fuad meletak jawatan daripada perkhidmatan awam dan menyertai Umno sebagai pegawai khas untuk mempromosi Umno dan BN, dengan bayaran daripada parti politik.

Lim berkata demikian dengan merujuk satu kenyataan Fuad, seperti dipetik agensi berita Bernama, berhubung gesaan kepada para penggiat media sosial dalam satu majlis di Johor.

Dalam majlis itu, Fuad antara lainnya berkata BN perlu mendapat sekurang-kurangnya 30 peratus undi Cina, dan 65 peratus undi Melayu dan 65 peratus lagi daripada pengundi India.

"Insya-Allah, BN berkemampuan mencapai kemenangan dua pertiga dalam pilihan raya umum ini jika kita terus bekerja kuat dan berusaha mencapai apa yang disasarkan," kata Fuad lagi.

Lim berkata, tindakan seperti itu tidak akan berlaku semasa pentadbiran perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman yang menurutnya amat peka mengenai kepentingan pemisahan kuasa dalam kerajaan.

"Tunku meletak jawatan sementara sebagai perdana menteri di antara April sehingga Ogos 1959 supaya beliau tidak dituduh menyalahgunakan kuasa dan kedudukan sebagai perdana menteri ketika mengetuai kempen untuk Perikatan, dan kembali ke jawatan perdana menteri selepas Perikatan menang pilihan raya umum 1959," katanya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.