Isu kenyataan Tian Chua: Polis siasat wartawan

Pihak polis hari ini memanggil wartawan laman Keadilan Daily berhubung penyiaran satu laporan memetik kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua berhubung tentang isu pencerobohan kumpulan bersenjata Filipina di Lahad Datu.

Pengarang akhbar tersebut, Fazallah Pit ketika dihubungi Malaysiakini berkata, beliau hadir bersama seorang wartawannya, Aisha Geoffrey di ibu pejabat polis Petaling Jaya untuk memberi keterangan petang ini.

Fazallah berkata, beliau telah dipanggil memberi keterangan berhubung laporan bertajuk 'Insiden tembakan di lahad datu konsporasi terancang Umno" di laman tersebut yang disiarkan 1 Mac lalu.

Peguam, Eric Paulsen ketika dihubungi petang ini berkata, editor serta wartawan organ PKR itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan jenayah fitnah.

Beliau juga berkata, polis mengambil masa kira-kira sejam untuk menyoal setiap wartawan berkenaan sejak jam 2.30 petang ini.

Pasukan polis dari Johor itu mengajukan kira-kira 20 soalan kepada wartawan tersebut, katanya.

"Selepas ini, pihak polis akan memanggil sub editor Keadilan Daily dan mungkin Tian Chua sendiri," katanya.

Tambahnya pihak polis memaklumkan bahawa pasukan itu menerima lebih 200 laporan polis mengenai laporan berkenaan.

Laporan dalam Keadilan Daily itu antara lainnya menyebut, kejadian di Lahad Datu "dipercayai konspirasi terancang kerajaan Umno untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat".

Tian, yang kini menerima serangan hebat dari kelompok Umno, pada 7 Mac lalu menjelaskan bahawa beliau hanya bertanggungjawab ke atas petikan langsung dalam laporan berkenaan

Tian menjelaskan, beliau berbuat demikian ekoran tindakan penulis blog pro-BN yang menyebarkan nombor telefon dan menghasut penyokong parti itu untuk menghantar mesej ancaman kepadanya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.