Rafizi kagum dengan keberanian Tee Keat tapi...

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata beliau mengagumi keberanian Datuk Seri Ong Tee Keat ketika mendedahkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), namun masanya sudah tiba untuk bekas bos MCA itu menjadi lebih berani.

Menurutnya, Ong kini perlu memandang ke hadapan melangkaui keberaniannya membongkar skandal PKFZ.

"Keberanian yang paling besar sekarang untuk kita menuju perubahan. Perubahan kali ini antara BN atau Pakatan Rakyat.

"Harapnya beliau cukup berani untuk bersama Pakatan dalam pilihan raya umum akan datang," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Tambahnya, keberanian Ong akan hanya teruji jika beliau bersama gelombang perubahan rakyat yang mahukan "perubahan daripada yang lama kepada yang baru".

Ini kerana, kata Rafizi, pilihan raya akan datang antara Pakatan dan BN, dan bukannya di antara mana-mana individu lagi.

"Ia bukan tentang beliau atau saya. Saya ini hanya 'ikan bilis' yang tiada apa-apa," kata Rafizi.

'Tiada perhatian MCA'


Beliau mengulas kenyataan Ong dalam wawancara bersama Malaysiakini yang menegaskan, walaupun beliau dan Rafizi sama-sama mendedahkan dakwaan salah guna kuasa, namun mereka tidak dapat disamakan.

Rafizi sudah diumumkan sebagai calon PKR di Pandan sementara Ong masih berharap diberikan peluang mempertahankan kerusi itu oleh MCA, walaupun dikatakan tidak disenangi presidennya sendiri Datuk Seri Chua Soi Lek.

Menurut Ong, pendedahan beliau bersangkutan dakwaan salah guna kuasa dalam partinya sendiri sedangkan Rafizi mensasarkan seteru politiknya di luar PKR.

Menurut Rafizi, Ong adalah seorang pemimpin BN yang mempunyai prestasi lampau yang cukup membanggakan sewaktu menjadi menteri.

Bagaimana pun, suara Ong kini tidak lagi diberi tempat dalam BN dan seandainya beliau berjaya mempertahankan kerusinya sekalipun, bekas presiden MCA itu tidak akan mampu membawa perubahan kepada rakyat menerusi BN.

"Kalau beliau menang sekali pun, agak sukar untuk beliau berbuat apa-apa.

"Ia amat jelas yang suara beliau tidak diberikan perhatian dalam MCA," kata Rafizi.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.