Saiful dedah video sumpah laknat di Mekah

 VIDEO | 1.43 min

Ketika tinggal hanya beberapa hari lagi menjelang hari mengundi Ahad ini, pengadu dalam kes Liwat II, Saiful Bukhari Azlan mendedahkan video sumpah laknat keduanya yang dibuatnya di Mekah berhubung dakwaannya yang dia diliwat oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas pembantu Anwar itu, yang membuat sumpah laknat pertamanya di sebuah masjid di Kuala Lumpur pada tahun 2008, berkata dia membuat sumpah laknat kedua itu semasa mengerjakan Umrah di Mekah pada 9 April 2012.

Dia berharap video tersebut akan "membersihkan" namanya dan keluarganya selepas bapanya Azlan Mohd Lazim semalam menarik balik permohonan maafnya kepada Anwar berhubung tuduhan liwat itu.

Azlan sebelum ini berkata tuduhan liwat itu adalah satu konspirasi politik, tetapi telah dinafikan oleh Saiful.

Saiful berkata beliau berharap sumpah laknat kedua yang dibuatnya di Masjidil Haram di Mekah akan mengurangkan keraguan mengenai kesahihan dakwaannya itu.

Anwar telah dibebaskan daripada tuduhan meliwat Saiful di kondominium Desa Damansara antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Dalam penghakiman bertulisnya, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata, adalah tidak selamat untuk menerima bukti DNA dalam perbicaraan itu dan oleh itu mahkamah tidak boleh menyokong keterangan Saiful berhubung dakwaan kejadian itu.

[Baca berita Penuh]

1. Bapa Saiful tukar lagi, dakwa anak diliwat Anwar

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.