Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP: Penahanan Melissa Gooi 'tak berasas'
Diterbitkan:  Jun 6, 2013 4:25 PM
Dikemaskini: 11:51 AM

Seorang MP PKR Gooi Hsiau Leung mendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menyalahgunakan kuasa dalam tindakan menahan seorang wanita yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong melalui tulisan di Facebook.

MP Alor Setar itu berkata, beliau berpendapat bahawa tulisan berkenaan bukanlah satu ancaman atau gangguan seperti yang dinyatakan sebagai kesalahan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sebaliknya, Gooi yang juga seorang peguam berkata perbualan di Facebook itu – yang kini menjadi beredar di Internet – hanya merujuk kepada ucapan Agong dan bukannya ke atas mana-mana individu.

"Saya telah membaca rakaman skrin perbualan Melissa Gooi bersama kawan-kawannya di Facebook mengenai ucapan Yang Di-Pertuan Agong dan mendapati tidak ada unsur gangguan atau ancaman yang dibuat terhadap sesiapa yang boleh disifatkan sebagai satu kesalahan di bawah akta tersebut.

 

"Tidak ada justifikasi di bawah undang-undang untuk menangkap Melissa Gooi melainkan bahawa tangkapan tersebut bermotif politik untuk memuaskan pemimpin-pemimpin BN yang telah mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia secara awam untuk mengambil tindakan.

 

"Penangkapan Melissa Gooi adalah suatu penghinaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengambil berat tentang kebebasan hak bersuara dan hak meluahkan perasaan secara terbuka tanpa berasa terancam atau diugut untuk ditangkap.

Oleh itu, beliau mengandaikan bahawa siasatan yang turut melibatkan empat rakan wanita tersebut sebagai "tidak berasas"

Gooi juga berkata penahanan berkenaan merupakan "penghinaan kepada semua rakyat Malaysia" kerana ia menghalang kebebasan mereka untuk bercakap dengan terbuka dan tidak ditakut-takutkan.

Wanita berusia 32 tahun itu ditahan pasukan polis pada pagi 4 Jun lalu di Ampang, Selangor.

Polis Kuala Lumpur menyebut, siasatan dijalankan ke atas wanita tersebut mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan juga Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

ADS