Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wanita didakwa hina Agong ditahan
Diterbitkan:  Jun 4, 2013 12:30 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Seorang wanita yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dalam laman sosial Facebook miliknya, hari ini ditahan pihak berkuasa, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Dalam kenyataan suruhanjaya hari ini menyebut pihaknya dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini berjaya mengesan dan menahan suspek hasil siasatan serta maklumat orang ramai.

"SKMM sangat memandang serius terhadap penyalahgunaan media sosial untuk memuatnaik kandungan serta komen-komen yang berunsur menghina terutamanya institusi diraja Malaysia.

"Suspek yang merupakan seorang wanita telah ditahan untuk membantu siasatan. Beliau dipercayai menyembunyikan diri setelah beberapa laman blog menyebarkan identititnya," kenyataan itu dipetik.

Kenyataan itu menyebut siasatan terhadap wanita itu dijalankan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan juga boleh didakwa bawah Akta Hasutan 1948.

SKMM turut meminta rakan suspek tampil bagi membantu siasatan.

Sebelum ini dilaporkan beberapa NGO membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut, malah Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin turut mendesak SKMM bertindak cepat dan tegas terhadap individu yang didakwa menghina baginda.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata polis telah membuat tangkapan terhadap wanita berusia 32 tahun itu pada jam 9.30 pagi tadi.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata tangkapan itu dibuat di Taman Nirwana, Ampang, Selangor bersabit dengan siasatan bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Berhubung kes itu juga, Amar Singh juga meminta empat individu - Weennee Tan, Shuh Chien Loo, Hun Keat Wong dan Carol Tay - supaya tampil membantu siasatan. 

ADS