Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perkataan "broker" yang disebut Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan penggulungannya di muktamar kelmarin tidak merujuk urusan "jual beli yang menggunakan wang".

Bercakap kepada pemberita di markas PAS di Pengkalan Kubor, Tuan Ibrahim sebaliknya berkata ucapan itu merujuk kepada maruah yang mudah untuk dijual beli.

"Ucapan itu bukan bermakna beli dengan duit. Beli itu bermakna maruah diri. Harga diri kita jangan mudah dibeli. Itu saya rasa apa yang dimaksudkan presiden," katanya.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim menasihatkan agar dua ADUN berkenaan berjumpa dengan Hadi bagi menyelesaikan perselisihan faham berkenaan.

"Saya fikir, sebagai ahli parti dan wakil rakyat yang daripada parti mereka perlu bertemu dengan presiden itu jalan terbaik. Saya fikir jalan terbaik juga jangan menggunakan media," katanya lagi.

Tuan Ibrahim menjawab soalan pemberita mengenai kenyataan ADUN PAS Saari Sungib yang mencabar Abdul Hadi mengemukakan bukti beliau “dibeli” oleh PKR kerana menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar.

Sambil menjelaskan panggilan itu tidak merujuk kepada PKR, Tuan Ibrahim berkata ia sebagai "kritikan" terhadap dua wakil rakyatnya yang perlu taat kepada pemimpin parti.

"Tak tuju pada PKR. Itu kritikan pada calon kita. Dua ADUN tersebut. Bukan pada PKR. Saya fikir itu luahan hati seorang presiden parti yang melihat bahawa seorang ahli perlu taat pada parti.

"Bila diluar daripada kebenaran parti, seorang ayah akan tegur anaknya. Jadi presiden parti ada hak untuk tegur. (Mereka) perlu berlapang dada dengan teguran. Ia demi kebaikkan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tulisan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua di dalam facebooknya yang menggelar Hadi sebangai 'nyanyuk', Tuan Ibrahim menasihatkan kepada parti lain supaya tidak mencampuri urusan PAS. 
 
Beliau turut menasihatkan kepada parti yang berada di dalam Pakatan Rakyat supaya menghormati prinsip dan sempadan dalam Pakatan Rakyat.
 
"Saya hormati prinsip rakan pakatan. Dalam parti kita minta supaya jaga batas sempadan parti kita. Kita tak perlu mencampuri urusan parti lain dan tak perlu nak komen pimpinan parti lain. 
 
"Hubungan kita ini ada masa, perlu jaga batas dan sempadan politik parti masing-masing. Tak perlu campur urusan parti lain. Kadang-kadang kita tak faham apa maksud sebenar seseorang itu. Kita perlu dengar keseluruhan ucapan," katanya.

Lihat Komen
ADS