'Langkah Kajang' punca banjir kilat, kata MCA

   

MCA hari ini menyalahkan 'Langkah Kajang' sebagai antara penyebab banjir kilat di Kajang akibat hujan lebat berterusan dua jam semalam.

“Banjir kilat yang melanda Kajang semalam adalah tambahan kepada senarai panjang dan tidak berkesudahan kegagalan Pakatan Rakyat menunaikan janji-janji pilihan raya,” kata Setiausaha MCA Selangor Ng Chok Sin.

Ng ( kanan ) mempersoal pencapaian anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang Dr Wan Azizah Wan Ismail, enam bulan setelah dipilih dalam pilihan raya kecil.

“Saya sungguh-sungguh menggesa Wan Azizah mendedahkan rancangan masa depannya untuk pencegahan banjir, dan mendedahkan apa yang dicapainya setakat ini,” kata Ng.

Langkah Kajang direncanakan oleh PKR untuk menggantikan menteri besar Selangor ketika itu Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ng juga berkata, Kajang pernah dilanda banjir kilat pada 2011 tetapi kerajaan nampaknya kerajaan negeri tidak mengambil pengajaran.

Hujan lebat semalam mengakibatkan air Sungai Kajang dan Sungai Jelok melimpah ke jalan sehingga menyebabkan air naik setinggi 0.2 meter.

Pengguna media sosial memuat naik gambar-gambar yang menunjukkan kawasan di sekitar bandar itu, jalan pasar Kajang dan kawasan perniagaan sekitarnya. [Baca berita penuh]

Sementara itu, dalam satu kenyataan petang ini, Wan Azizah menghargai usaha Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana telah bertungkus lumus membersihkan kawasan yang dilanda banjir kilat.

"Saya akan mengusahakan pertemuan empat mata di antara pihak pejabat ADN Kajang, MPKj dan JPS bagi membincangkan masalah dan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang berkenaan isu banjir kilat di Kajang," katanya.

Selain itu, kata Wan Azizah, pejabat ADN Kajang akan bekerjasama dengan unit petugas MPKj untuk memantau dan mengambil langkah proaktif sekiranya kejadian banjir kilat seperti ini berulang.

"Saya akan berusaha dengan lebih gigih dan terus berkhidmat untuk warga Kajang demi kebaikan bersama," tambahnya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In