Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Badan Bertindak Bantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) hari ini menuntut kerajaan supaya berterus-terang berhubung cadangan berkaitan hak harta intelek membabitkan ubat-ubatan yang terkandung dalam perjanjian itu.

Jurucakapnya Azlan Awang berkata beliau bersama badan bertindak yang lain melahirkan rasa kebimbangan kerana terdapat kebocoran maklumat mengenai perjanjian tersebut berhubung ubat-ubatan dalam laman Wikileaks.

Menurutnya, berdasarkan kandungan teks yang bocor di laman tersebut mendakwa terdapat persetujuan bahawa cadangan ke atas lesen wajib ubat-ubatan telah dihapuskan.

Sehubungan itu, Azlan berkata sekiranya lesen wajib itu dihapuskan dalam perjanjian maka harga ubat-ubatan akan menjadi mahal serta tempoh paten ubat-ubatan akan lebih lama.

"Di dalam Wikileaks pada 30 Ogos 2013, cadangan bahawa lesen wajib ini masih ada. Tetapi yang terbaru, ketika kandungan ini dibocorkan minggu lalu, kita lihat perkara itu sudah tidak ada lagi. Itu yang kita bimbang.

"Seolah-olah, kita ini di dalam keghairahan sangat nak menandatangani perjanjian itu. Kandungan itu juga seolah-olah Malaysia sudah bersetuju.

"Kita harap Wikileak ini tak betul. Kita harap ada penjelasan daripada kerajaan. Adakah benar-benar dah berubah pendirian mereka dalam hal ini?

"Kalau hal penting pun boleh berubah, macam mana dengan hal lain?" katanya pada sidang media di ibu pejabat Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) petang ini.

Pada April lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia bertegas akan menolak cadangan berkaitan hak harta intelek dalam perjanjian TPPA yang membabitkan ubat-ubatan.

    

Mustapa berkata kerajaan sedar perkara itu menjadi kebimbangan rakyat negara ini kerana cadangan berkenaan akan menaikkan harga ubat-ubatan di pasaran.

Malah, pada tahun lalu, dalam Dewan Rakyat, Mustapa berkata kerajaan tidak akan menandatangani perjanjian TPPA sekiranya ia menyebabkan harga ubat-ubatan meningkat.

Lihat Komen
ADS