Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed berkata, kerajaan tidak akan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sekiranya ia menyebabkan harga ubat-ubatan meningkat.

Dalam satu jawapannya di Dewan Rakyat hari ini, Mustapa berkata kerajaan juga mengambil pendirian dengan mengemukakan bantahan yang tegas ke atas sebarang cadangan yang boleh melambatkan ubat-ubatan tersebut masuk ke pasaran tempatan

"Kerajaan menyatakan pendirian serta kemukakan bantahan yang tegas tentang cadangan yang boleh melambatkan ubat-ubatan ke pasaran tempatan dan menyebabkan kos yang tinggi dalam harga ubat-ubatan.

“Kerajaan tetap berpegang pada pendirian ini dengan tegas," katanya ketika menjawab soalan daripada Charles Santiago (DAP-Klang).

Santiago meminta kerajaan menjelaskan mengenai status perbincangan Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) di antara Malaysia dan serta negara lain yang terlibat dalam TPPA.

Dalam soalan tambahannya, Santiago juga mencadangkan supaya satu jawatankuasa khas Parlimen ditubuhkan bagi membincangkan tentang TPPP.

Mustapa dalam jawapan seterusnya menolak cadangan itu dan berkata soalan yang dikemukakan di Parlimen adalah memadai.

"Saya rasa perbahasan  dalam Parlimen, soalan-soalan yang dikemukakan sudah memadai untuk kami tentukan pendirian terbaik untuk negara yang tercinta," katanya. 

TPPP yang dianggap pemerhati sebagai penuh rahsia itu dijangka diselesaikan menjelang Oktober ini dan rundingan juga sesudah masuk pusingan ke-17.

Perjanjian itu turut mendapat bantahan komuniti perniagaan apabila ia dikatakan akan merencatkan pertumbuhan ekonomi dalam kalangan usahawan di negara ini, terutamanya, bumiputera.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) pada 28 Februari lalu dilapor menggesa kerajaan menangguhkan perjanjian itu kerana ia didakwa memberikan syarikat asing lebih kelebihan dalam ekonomi negara.

ADS