Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keluarga Anwar muncul di Istana Negara
Diterbitkan:  Feb 24, 2015 4:33 PM
Dikemaskini: 11:30 AM

Anggota keluarga ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan permohonan bagi mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong berhubung sabitan kes Liwat II.

Anggota keluarga Anwar muncul di Istana Negara pada kira-kira jam 3.30 petang ini bagi mengemukakan permohonan itu.

Seorang anak perempuan Anwar, Nurul Nuha mengesahkan perkara itu.

"Satu rayuan untuk mendapatkan Pengampunan Yang di-Pertuan Agong sudah dikemukakan.

"Mahkamah mungkin menjatuhkan hukuman bersalah namun bapa kami dan keluarga kami tetap menyatakan bahawa beliau tidak bersalah.

"Selari dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kami berharap agar institusi diraja akan memberi pengampunan atas nama keadilan dan berdasakan semua fakta.

"Kami juga akan meneruskan sehabisnya apa jua cara yang diperuntukkan bagi rakyat negara ini," kata Nurul Nuha dalam kenyataannya.

Pihak Istana Negara juga mengesahkan kehadiran anggota keluarga Anwar pada hari ini.

Menurut laporan Bernama , permohonan itu dikemukakan melalui petisyen mengikut Peraturan 113, Peraturan Penjara 2000.

Peruntukan itu memberi peluang kepada banduan untuk mengemukakan petisyen berkenaan seberapa segera selepas sabitan dan seterusnya selepas tiga tahun dan selang dua tahun selepas itu.

Sementara itu, satu kenyataan yang dikeluarkan parti tersebut petang ini menegaskan bahawa ia merupakan keputussan anggota keluarga itu sendiri.

"Permohonan rayuan pengampunan ini dibuat oleh ahli keluarga, bukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim atau parti," kenyataan itu dipetik.

Sekiranya Anwar tidak memohon pengampunan, kerusi Permatang Pauh yang disandangnya bakal diisytiharkan kosong dan satu pilihan raya kecil perlu diadakan.

Seakan-akan mengaku bersalah

Bagaimanapun, Pakatan Rakyat kini dalam keadaan lemah, berbeza dengan keadaan ketika Anwar memenangi pilihan raya kecil kawasan tersebut, sebaik dibebaskan dari tahanan pada 2008.

Anwar sebelum ini dijangka tidak akan memohon pengampunan dan akan memfailkan semakan kehakiman untuk mengetepikan sabitan kes Liwat II oleh Mahkamah Persekutuan.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli semalam berkata Anwar tidak mengeluarkan arahan kepada peguamnya untuk memohon pengampunan diraja kerana tetap dengan pendirian “tidak bersalah”.

Tindakan memohon pengampunan diraja boleh membawa maksud seakan-akan Anwar mengaku bersalah dalam kes yang disabitkan pada 10 Februari lalu.

Bagaimanapun, Anwar masih berhak untuk memfailkan semakan kehakiman walau memohon pengampunan diraja.

Lihat Komen
ADS