Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kukuh jentera hadapi p'raya kecil Chempaka'
Diterbitkan:  Mar 3, 2015 4:43 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Mohd Sany Hamzah mendakwa tindakan Umno yang tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil DUN Chempaka hanyalah sandiwara politik semata-mata.

Menurutnya, ungkapan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak untuk tidak meletakkan calon demi perpaduan ummah atau menghormati pemergian Datuk Nik Aziz Nik Mat dilihat sandiwara memandangkan sehingga kini wang royalti minyak negeri masih lagi dinafikan.

"Rakyat Kelantan sehingga hari ini masih lagi menuntut kerajaan Persekutuan untuk memulangkan kembali tunggakan royalti minyak yang telah dinafikan selama ini.

"Sehingga perkara tersebut menjadi realiti, ungkapan presiden Umno untuk tidak meletakkan calon dalam PRK yang kononnya demi menjaga perpaduan ummah atau menghormati pemergian Tok Guru tidak lebih sekadar sandiwara politik semata-mata," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Chempaka diadakan pada 22 Mac depan ekoran kematian Nik Aziz yang juga bekas mursyidul am PAS kerana kanser prostat.

Minggu lalu, Majlis Tertinggi Umno memutuskan bahawa parti itu tidak akan meletakkan calonnya dalam piliha raya kecil tersebut kerana memberi tumpuan pada usaha pemulihan Kelantan akibat banjir besar tahun lalu.  

Dalam kenyataanya hari ini, Mohd Sany menggesa jentera pilihan raya Pemuda PAS seluruh negara supaya membuat persiapan sewajarnya dalam pilihan raya kecil DUN Chempaka walaupun Umno tidak bertanding.

Ini kerana, katanya, kemenangan dengan majoriti yang besar bakal menjadi penanda aras sama ada rakyat Kelantan masih mahu mengekalkan legasi Nik Aziz atau tidak.

"Tidak terhenti setakat itu, kemenangan dengan majoriti lebih besar ini juga akan menguatkan lagi tekad pimpinan PAS dan kerajaan negeri untuk memastikan impian rakyat Kelantan yang selama ini dinafikan secara zalim, menjadi realiti," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS