Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno tidak bertanding di DUN Chempaka
Diterbitkan:  Feb 25, 2015 8:59 PM
Dikemaskini: Feb 26, 2015 12:02 AM

Umno tidak akan meletakkan calonnya dalam pilihan raya kecil kerusi Chempaka bulan depan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat baru-baru ini.

Ketua penerangannya Datuk Ahmad Maslan berkata keputusan itu dibuat bagi memberikan tumpuan pada usaha pemulihan Kelantan akibat banjir besar tahun lalu.

"Umno tidak bertanding di DUN Chempaka. Tumpu selesai bantuan banjir dan perpaduan ummah," katanya dalam mesej di Twitter.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang dipengerusikan oleh presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan pada 22 Mac depan, manakala penamaan calonnya pada 10 Mac.

Pada pilihan raya umum ke-13, bekas menteri besar Kelantan itu mengalahkan calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak, dengan majoriti 6,500 undi.

Sementara itu, Bernama melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata keputusan serupa pernah dibuat BN pada PRK Parlimen Bukit Gelugor pada Mei 2014, "jadi tidak semestinya kita lakukan bertanding)...lihat pada keadaan."

 

Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibunegara malam ini, Najib berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan menyeluruh dengan Badan Perhubungan Umno  Kelantan dan Umno Bahagian Pengkalan Chepa sebelum membuat keputusan berkenaan.

 

Menyentuh mengenai kedudukan kerusi Parlimen Permatang Pauh, Najib berkata Umno akan menunggu keputusan SPR berikutan permohonan petisyen pengampunan Diraja oleh keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum membuat sebarang keputusan.

    

"Jadi kita tunggulah...ikut tafsiran Perlembagaan dan SPR akan terima nasihat berdasarkan tafsiran ini dan akan umumkan tarikh," katanya.

               

Beliau berkata BN akan umumkan keputusan sama ada untuk bertanding atau tidak kerusi berkenaan, bila sampai masanya.

               

Isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka Nurul Izzah dan Nurul Nuha telah memfailkan petisyen permohonan pengampunan diraja bagi pihak Anwar kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, semalam.

 

Mengenai UMNO, Najib berkata keanggotaan parti itu, kini mencecah 3.47 juta orang, selain turut menerima 1,126 permohonan keahlian dalam talian sejak perkhidmatan itu dibuka pada 27 Januari  hingga 17 Februari lepas.

               

Katanya, daripada jumlah itu, 774 permohonan yang lengkap telah diproses dan dihantar ke cawangan mengikut alamat pemohon.

               

"Kita harap lebih ramai lagi yang akan menggunakan perkhidmatan ini bagi memohon keahlian UMNO," katanya.

               

Najib juga berkata sebanyak 21,245 cawangan Umno di seluruh negara layak mengadakan mesyuarat cawangan tahunan yang akan bermula 13 Mac hingga 2 Mei depan.

               

Sementara itu, sebanyak 19,871 cawangan Pergerakan Wanita, Pemuda (15,111) dan Puteri (10,048) turut layak mengadakan mesyuarat tahunan, katanya.

Lihat Komen
ADS